12 Ogos 2021, 13:28

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

BANGI – Selaras dengan arus perkembangan teknologi digital dan peningkatan bahan bacaan yang diterbitkan secara dalam talian, Wadah Pencerdasan Umat Islam (WADAH) mengambil inisiatif untuk menerbitkan majalah Pencerdasan dalam bentuk digital, iaitu Pencerdasan.com.

Presiden WADAH, Dato’ Haji Ahmad Azam Abdul Rahman berkata, Pencerdasan.com merupakan satu platform yang wajib untuk disertai supaya masyarakat tidak ketinggalan dalam perkembangan pesat dunia digital.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Peluncuran Pencerdasan.com bersempena sambutan Ma‘al Hijrah 1443H semalam melalui Facebook langsung WAPtv.Malaysia.

“Realiti dunia digital sekarang ini menyebabkan kita tiada pilihan. Ini perang naratif. Sesiapa yang naratifnya dapat diterima, maka dialah menguasai minda umat pada hari ini. Itulah perang naratif yang perlu kita ceburi dan kita perlu terlibat secara langsung dengan menyiapkan kandungan penerbitan Pencerdasan.com ini,” katanya.

Pencerdasan sebelum ini diterbitkan secara bercetak. Penerbitan secara digital ini diharap akan meningkatkan capaian pembacaannya dalam kalangan khalayak dan menjadi rujukan masyarakat tentang isu-isu dakwah semasa serta perkembangan umat Islam di seluruh dunia. Pencerdasan.com juga diharap menjadi satu saluran persuratan dakwah yang berpengaruh bagi membentuk minda tajdid ummah dalam kalangan masyarakat Islam di negara ini.

“Semoga Pencerdasan.com menjadi pencetus kepada penerbitan baharu 2.0 yang kita uar-uarkan sejak sambutan 50 tahun penubuhan ABIM,” katanya.

Bersempena majlis tersebut juga diadakan forum yang bertajuk “Tradisi Persuratan di Dunia Islam: Tajdid Minda Umat” yang menampilkan tiga orang ahli panel, iaitu Profesor Emeritus Datuk Dr. Osman Bakar; Institut Pemikiran dan Tamadun Islam Antarabangsa, Universiti Islam Antarabangsa (ISTAC-IIUM), Profesor Dato’ Seri Dr. Awang Sariyan; Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), dan Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA) UKM, dan Profesor Dato’ Dr. Mohammad Redzuan Othman; Pengerusi Nadwah Ilmuwan Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM). Mereka berkongsi pandangan tentang sumbangan persuratan dakwah di dunia Islam dalam usaha menyebarkan pembaharuan berfikir dalam kalangan umat.

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.