10 Ogos 2021, 13:08

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PUTRAJAYA – Sambutan Ma‘al Hijrah pada tahun ini telah diadakan secara sederhana dan penuh kesyukuran dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bagi mengekang penularan COVID-19. Tema sambutan pada kali ini ialah “Manhaj Rabbani, Ummah Berkualiti”.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad al-Bakri merakamkan penghargaan dan menjunjung kasih Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong atas rakaman titah perutusan Sambutan Ma‘al Hijrah dan semua yang terlibat menjayakan majlis itu semalam.

Yang di-Pertuan Agong al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin al-Mustafa Billah Shah mengajak seluruh rakyat Malaysia melakukan hijrah dalam usaha mendepani pandemik COVID-19, dan bangkit bersama-sama untuk mengukuhkan perpaduan, menjaga kesihatan dan mematuhi SOP yang ditetapkan demi negara tercinta.

Baginda juga menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya bekerjasama dengan mematuhi Pelan Pemulihan Negara (PPN) yang merupakan strategi peralihan keluar secara berfasa daripada kemelut pandemik itu.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pula dalam ucapannya berharap kedatangan tahun baharu Islam ini akan mengurniakan umat Islam dengan keimanan dan kesabaran untuk meneruskan ikhtiar melawan COVID-19 menerusi PPN yang sedang giat dilaksanakan oleh kerajaan.

Turut hadir mengimarahkan sambutan bersejarah dalam kalendar Islam ini ialah Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Sabri Yaakob, barisan ahli kabinet dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan.

Dalam majlis tersebut, Mantan Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Syaikh Haji Ismail bin Muhammad telah diumumkan sebagai Tokoh Ma‘al Hijrah Peringkat Kebangsaan 2021/1443 Hijrah, manakala Ma‘ali al-Syaikh Dr. Muhammad bin Abdul Karim al-Issa, Ketua Setiausaha Liga Dunia Islam dan Penasihat Dewan Diraja Arab Saudi (diwakili oleh TYT Mahmoud Hussein Saeed Qattan, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia) pula diumumkan sebagai Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa.

“Pemilihan Tokoh Ma‘al Hijrah Peringkat Kebangsaan dan Antarabangsa ini adalah berdasarkan sumbangan mereka kepada dunia Islam yang memberikan impak positif terhadap pembangunan dan perkembangan Islam. Tahniah saya ucapkan kepada Tan Sri Dato’ Seri (Dr.) Syaikh Haji Ismail bin Muhammad dan Ma‘ali al-Syaikh Dr. Muhammad bin Abdul Karim al-Issa,” katanya.

Sementara itu, mengenai tema pada tahun ini, Zulkifli berkata manhaj Rabbani merupakan jalan untuk menjadikan ummah meletakkan Allah SWT sebagai keutamaan dan panduan dalam segala amalan, perbuatan dan matlamat hidup. Terdapat tujuh prinsip utama dalam dasar manhaj Rabbani, iaitu rahmat, aman, bertuhan, bakti, adil, nurani dan insani yang diterjemahkan daripada setiap huruf dalam perkataan “Rabbani”. Setiap prinsip tersebut mempunyai penjelasan dan hala tujunya yang tersendiri

“Itulah jalan hijrah kita untuk menjadi ummah berkualiti,” jelasnya.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.