8 Ogos 2021, 07:15

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sempena ulang tahun ke-11 TV AlHijrah yang bakal disambut pada 10 Ogos 2021 bersamaan 1 Muharram 1443H, stesen televisyen Islamik ini telah menyusun pelbagai rancangan istimewa untuk tontonan penonton setianya. Tema sambutan pada kali ini ialah “TV Kita untuk Semua, Bangkit Bersama TV AlHijrah”.

Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, dalam kenyataannya berkata, tema itu jelas menyatakan harapan stesen televisyen tersebut agar rakyat Malaysia tidak mudah berputus asa memerangi COVID-19.

Teruskan bersama TV AlHijrah. Suntikan semangat untuk terus bersatu hati, berpimpin tangan dan bersoladariti memerangi COVID-19 akan diterjemahkan menerusi hidangan pelbagai rancangan menarik, segar dan membajai nurani bermula 4 Ogos 2021 hingga 11 September 2021.

“Antara rancangan menarik yang akan dihidangkan termasuklah ‘Solidariti Yasin 2.0’, ‘Siaran Langsung Istimewa Ulang Tahun TV AlHijrah’, ‘Assalamualaikum’, ‘Pada Hari Ini 11 Tahun yang Lalu’ dan ‘#MerisikKhabar’,” katanya.

Menurut Namanzee, selain barisan rancangan istimewa tersebut, TV AlHijrah turut memperkenalkan dua slot baharu yang akan dilancarkan istimewa sewaktu Kempen Ulang Tahun ke-11 TV AlHijrah, iaitu slot “Deen” dan slot “Kesuma”.

“Slot Deen merupakan slot kerohanian yang disiarkan setiap hari pada pukul 7.30 malam. Antara rancangan yang akan dihidangkan dalam slot ini termasuklah ‘Cinta Ilmu’, ‘Tawajjuh’, ‘Ngaji On The Go’, ‘Riwayat Akhir Zaman’, ‘Bila Hijab Terbuka’, ‘Kembara Mahsyar’, ‘Hakikat Takikat Makrifat’ dan ‘E-Kaunter Netizen’.

“Slot Kesuma pula merupakan slot khas buat penggemar telefilem tempatan dan antarabangsa. Slot ini akan disiarkan pada setiap hari Ahad pukul 9.00 malam, dan sesuai dijadikan tontonan seisi keluarga. Untuk bulan Ogos, kami akan siarkan telefilem bertajuk ‘Dealova’, ‘Iqlab’ dan ‘Kabut Semalam’,” jelas Namanzee.

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.