1 Ogos 2021, 21:53

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan mengingatkan umat Islam bahawa setiap ujian dan musibah yang berlaku mempunyai hikmah yang perlu diambil pengajaran daripadanya. Seseorang yang dilanda musibah tidak perlu berdukacita kerana Allah sentiasa ada bersama mereka.

Beliau menjelaskan demikian dalam ceramah agama khas bertajuk “Usah Berdukacita, Allah Bersama-sama Kita” anjuran bersama Surau al-Hukama Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Badan Keluarga DBP dan Bahagian Komunikasi Korporat DBP yang disiarkan dalam Facebook Langsung Surau al-Hukama DBP.

Al-hazan (kesedihan) merupakan satu daripada bentuk ibtila’ (ujian) yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-Nya untuk melihat sejauh mana kesabaran mereka. Setiap ujian yang Allah turunkan itu merupakan kifarah atas dosa hamba-Nya.

“Kita hendaklah bergantung pada Allah, iaitu yakin dan bertawakal kepada-Nya bagi menghadapi situasi dukacita tersebut. Allah mengetahui situasi dan kesedihan kita, dan tugas kita adalah yakin dan bertawakal kepada-Nya. Daripada tawakal itulah akan timbul rasa sakinah (ketenangan). Hati yang sedih akan terubat apabila ada keyakinan dan tawakal kepada Allah,” katanya.

Islam mengajar umatnya supaya bersabar dalam bentuk keyakinan dan mengambil langkah yang boleh membawa mereka keluar daripada musibah tersebut, iaitu mengetahui sebab dan musabab terjadinya musibah tersebut. Oleh itu, umat Islam perlu ada rasa kebergantungan pada Allah di samping ikhtiar melalui ilmu dan kepakaran yang ada pada masa tersebut.

Hal ini bertepatan dengan konsep hubungan manusia dengan Allah dan hubungan manusia dengan manusia lain dalam Islam. Hubungan dengan Allah dalam bentuk keyakinan dan bertawakal, manakala hubungan dengan manusia pula dalam konteks mencari jalan keluar daripada masalah tersebut.

Sahibus Samahah Datuk Dr. Luqman bin Haji Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan.

Beliau turut menjelaskan tentang pengambilan vaksin dan pematuhan kepada prosedur operasi standard (SOP) bagi menghindari wabak COVID-19 yang melanda negara sekarang ini. Hal tersebut merupakan satu bentuk ikhtiar, iaitu dengan mengambil kira pandangan pakar dalam bidang berkenaan. Akan tetapi, pada masa yang sama perlu ada kebergantungan pada Allah SWT kerana Dia yang membawa sesuatu ujian itu kepada manusia. Antara bentuk kebergantungan pada Allah SWT juga termasuklah bertaubat kepada-Nya kerana di balik musibah itu sebenarnya Allah mahu manusia kembali kepada-Nya

Katanya, kejadian bunuh diri yang banyak terjadi akhir-akhir ini disebabkan rasa dukacita yang sangat kuat menekan diri seseorang sehingga dia merasakan jalan keluarnya adalah dengan membunuh diri. Oleh itu, kita perlu membina keyakinan dalam diri mereka supaya mereka sabar dan dapat berfikir dengan baik.

“Dalam Islam diajar tentang zikir yang boleh mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT supaya lahir sakinah dalam dirinya. Dari situ barulah dia boleh berfikir dengan baik. Inilah maksud innallaha ma‘ana,” jelasnya.

 

 

 

 

 

 

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.