23 Jun 2021, 13:39

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

KUALA LUMPUR – Islam menetapkan bahawa setiap orang yang berkemampuan wajib bekerja dan dilarang daripada meminta-minta. Bekerja juga merupakan satu ibadat dan sunah Rasulullah SAW. Oleh itu, bekerja bukan hanya bertujuan untuk mengejar kekayaan semata-mata, tetapi perkara yang lebih utama adalah untuk mendapat keberkatan dan keredaan Allah SWT.

Untuk mengundang keberkatan dalam setiap pekerjaan yang dilakukan, seseorang perlu ada sifat takwa, amanah dan ihsan supaya apa-apa juga perkara yang dilakukan berlandaskan syariat Allah SWT. Sifat tersebut akan menyebabkan seseorang akan lebih bertanggungjawab dalam pekerjaan kerana mereka lebih takut kepada Allah SWT, bukannya majikan atau rakan sekerja.

Setiap pekerja hendaklah berusaha untuk melakukan yang terbaik dan sentiasa melakukan hijrah dari segi mental dan fizikal untuk menambahkan kecemerlangan diri dan organisasi. Dalam hal ini juga, Islam menyarankan umatnya supaya banyak bersedekah dan membuat urusan pada awal pagi. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan apa-apa sahaja yang kamu dermakan maka Allah akan menggantikannya, dan Dia-lah jua sebaik-baik Pemberi Rezeki.” (Surah Saba’ 34:39).

Selain itu, penjawat awam diingatkan supaya tidak melakukan perkara yang dilarang dalam Islam seperti meninggalkan solat, mengamalkan riba, menipu urusan tender dan tuntutan kerja lebih masa, serta menggelapkan harta kerajaan kerana perbuatan tersebut akan menghalang keberkatan dalam pekerjaan. Perkara yang selalu dianggap remeh oleh sesetengah orang seperti menggunakan barang pejabat untuk kegunaan peribadi, tidak menjaga ketepatan masa, tidak menjaga aurat dan batas pergaulan, serta menghabiskan masa kerja dengan kerja sia-sia juga patut dielakkan. Walaupun sesuatu pekerjaan yang diceburi itu secara zahirnya halal, namun perkara tersebut perlu dijauhi dan dielakkan supaya rezeki yang diperoleh mendapat keberkatan oleh Allah SWT.

Demikianlah inti pati ceramah bertajuk “Mencari Keberkatan dalam Pekerjaan” yang disampaikan oleh Ustaz Abdullah Bukhari Abdul Rahim dalam program yang diadakan sempena sambutan Ulang Tahun Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) ke-65 pagi tadi. Program yang diadakan secara dalam talian itu dimulai dengan majlis bacaan Yasin dan tahlil yang turut dihadiri oleh YBhg. Datuk Abang Sallehuddin Abang Shokeran, Ketua Pengarah DBP dan YBhg. Profesor Datuk Seri Dr. Awang Sariyan, Pengerusi Lembaga Pengelola DBP, serta seluruh warga kerja DBP.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.