16 Jun 2021, 23:48

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Bible pertama edisi terjemahan dalam bahasa Melayu menggunakan tulisan jawi  yang bersandarkan Bible terjemahan Belanda, iaitu Perjanjian Baru daripada Buku Matthew. Penterjemahan ini diusahakan oleh Albert Cornelius Ruyl pada tahun 1612 dan dicetak pada tahun 1629. Kemudian, Buku Mark (bersama Buku Matthew) pula dicetak pada tahun 1638 menggunakan tulisan rumi.

Bible tersebut merupakan tulisan pertama yang menggunakan kalimah Allah dalam terjemahan Bible bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, lebih awal dari itu, pada tahun 1514, terdapat sebuah buku Kristian dalam bahasa Arab bertajuk Kitab Salat al-Sawa‘i disebarkan dalam kalangan orang Melayu turut menggunakan kalimah Allah.

Usaha ini diteruskan lagi oleh para pendakyah lain seperti Melchior Leijdecker. Beliau menterjemahkan Bible lengkap dalam bahasa Melayu pada tahun 1733 dengan mengekalkan perkataan Allah.

Tujuan mereka melakukan hal ini adalah untuk memudahkan gerakan penyebaran Kristian terhadap umat Islam di Alam Melayu. Mereka cuba menyesuaikan ajaran Kristian dengan bahasa setempat, termasuk bahasa Melayu, bahasa Arab dan bahasa lain.

Penggunaan kalimah Allah ini turut mendatangkan kekeliruan kerana dinisbahkan kepada tuhan atau god (dengan kata nama am). Namun begitu, Allah yang sebenar seperti dalam Islam ialah kata nama khas, iaitu Tuhan.

Kekeliruan tersebut bertambah parah apabila kalimah Allah dipadankan pula dengan konsep Triniti (Tuhan Bapa, Tuhan Anak dan Roh Kudus) dalam ajaran Kristian yang berpandukan doktrin St. Paul.

Perkara ini jelas bertentangan dengan firman Allah SWT bermaksud, “Katakanlah (wahai Muhammad): Dia-lah Allah Yang Maha Esa. Allah (ialah Tuhan) yang bergantung pada-Nya segala sesuatu. Dia tiada beranak dan Dia juga tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa (setara) dengan-Nya.” (Surah al-Ikhlas 112:1-4).

Sememangnya, misi penjajahan Barat terhadap umat Islam bukan sekadar penaklukan berbentuk geografi semata-mata, sebaliknya sebuah pakej perancangan 3G, iaitu Gold (emas), Glory (kemasyhuran) dan Gospel (Bible).

Oleh itu, hujah pihak gereja merujuk aspek sejarah tertolak kerana orang Melayu-Islam selaku penduduk asal, tidak pernah bersetuju memberikan kebenaran kepada penjajah Kristian menggunakan kalimah Allah. Penjajah sendiri yang memaksa penggunaan perkataan Allah dalam Bible terjemahan bahasa Melayu.

Penjajah sanggup melakukan apa-apa sahaja yang mereka hajati bagi mencapai tujuan 3G. Bagi orang Melayu, kalimah Allah merupakan nama Tuhan yang khusus bagi agama dan umat Islam. Sejarah agama lain pun tidak pernah dikaitkan secara khusus dengan kalimah Allah. Maka itu, penggunaan kalimah Allah oleh Kristian dalam Bible terjemahan bahasa Melayu merupakan suatu bentuk pencabulan penjajah terhadap agama Islam.

Setelah melalui beberapa tempoh waktu, agenda pendakyahan ini terus berlaku hingga kini dengan pengukuhan pelbagai strategi antaranya termasuklah kontekstualisasi. Kontekstualisasi secara mudahnya bermaksud sesuatu proses ajaran Kristian perlu dinamik dalam konteks atau tempat yang berbeza agar relevan dan sesuai diterima oleh masyarakat setempat.

Dalam konteks semasa, pelbagai strategi gerakan kristian ini telah lama dikesan oleh para ulama dan sarjana Muslim. Beberapa siri pendedahan juga telah dilakukan di negara Malaysia dan Indonesia untuk menyedarkan masyarakat Islam berkenaan dengan strategi pendakyahan tersebut.

Buku bertajuk Pendedahan Agenda Kristian terbitan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) pada tahun 2014, secara terang mendedahkan bahawa

Salah satu taktik evangelis Kristian menggunakan strategi kontekstualisasi untuk memperdayakan umat Islam. Dengan menggunakan perkataan yang biasa disebut dan digunakan oleh umat Islam di dalam bahan bacaan Kristian, maka usaha pendakyahan dengan menyebarkan Bible menjadi lebih mudah. Masyarakat menjadi keliru dan mudah bagi mereka untuk terus menyesatkan lebih ramai Muslim.

Menurut buku itu lagi, tuntutan gereja Katolik di Malaysia sama seperti taktik yang digunakan oleh gereja Katolik di Indonesia. Kenyataan ini selari dengan respons majalah Christianity Today (28 Julai 2009) terhadap tindakan MAIS yang mengharamkan lagu Peduli Allah oleh Agnes Monica (penyanyi beragama Kristian dari Indonesia) bahawa

Penggunaan perkataan Allah dalam Bible terjemahan bahasa Melayu di rantau ini merupakan langkah strategik supaya umat Islam lebih mendekati ajaran Kristian melalui Bible.

Oleh sebab itu, gereja Katolik di Malaysia bersungguh-sungguh mempertahankan penggunaan kalimah Allah dalam Bible bahasa Melayu, meskipun Allah bukan nama Tuhan bagi penganut Kristian seperti yang diakui oleh Pope Vatican menerusi artikel “Pope Benedict XVI: May al-Rab (not Allah) Bless You” dalam Catholic Online.

Perkara ini diperkukuh lagi dengan pendedahan e-mel Paderi Lawrence Andrew pada 14 Mac 2009 yang menyebutkan bahawa “Kita perlu sedar bahawa ini bukan isu  ‘Allah’ semata-mata. Isu ‘Allah’ ialah alat untuk memastikan Perlembagaan Persekutuan tidak terkubur dan undang-undang syariah menjadi undang-undang negara. Inilah ancaman sebenar”.

Mesej tersebut bermaksud, selain sebagai strategi pendakyahan, isu kalimah Allah juga secara tersirat dijadikan alat untuk mengekang kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan, serta menghakis undang-undang syariah di Malaysia. Kenyataan ini selari dengan tindakan lebih awal Interfaith Commission (IFC) yang digagaskan oleh Majlis Perundingan Malaysia Agama Buddha, Kristian, Hindu dan Sikh (MCCBCHS).

Pada tahun 2001, MCCBCHS telah menghantar memorandum kepada Majlis Peguam supaya mendesak kerajaan. Antaranya mereka menuntut agar orang bukan Islam dibenarkan untuk menggunakan perkataan suci Islam. Dalam laporan lain pula, dikatakan wujud gerakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian.

Pelbagai peristiwa yang dinyatakan jelas membuktikan bahawa terdapat usaha terancang dalam polemik kalimah Allah sebagai usaha pendakyahan dan mengekang kedudukan agama Islam di Malaysia. Hal ini dikatakan demikian kerana Perlembagaan Persekutuan (Perkara 3(1)) menyebutkan bahawa “Islam adalah agama bagi Persekutuan”.

Namun begitu, masih ada sebahagian umat Islam, khususnya yang berfikiran sekular dan liberal, menyokong agenda tersebut yang dikatakan mewakili suara umat Islam. Kecelaruan pemikiran mereka pernah disentuh oleh penulis dalam artikel majalah Dewan Tamadun Islam bertajuk “Liberalisme: Moderat atau Pelampau Agama?” dalam keluaran 4/2016 dan “Pemikiran Liberal dan Hak Asasi Manusia” dalam keluaran 6/2018.

Dalam hal ini, mereka dipengaruhi oleh konsep pluralisme agama yang membawa kepada penafsiran bahawa semua agama adalah sama dan setara. Kesamaan dan  keseteraan ini adalah dari aspek kedudukan mahupun kebenarannya.

Menurut mereka, sesiapa sahaja bebas menggunakan perkataan suci agama Islam, walaupun dengan makna yang tidak betul, termasuklah kalimah Allah, dalam agama masing-masing. Pemikiran ini sudah tentu bertentangan dengan ajaran Islam yang mempunyai konsep-maksud tersendiri serta tidak sama dengan agama lain. Firman Allah SWT bermaksud,

Sesungguhnya agama (yang benar dan diredai) di sisi Allah hanyalah Islam.” (Surah Ali ‘Imran 3:19).

Seluruh umat Islam perlu mengingati dan wajib mengimani firman Allah SWT bermaksud,

Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan reda kepada kamu sehingga kamu mengikuti millah (agama, pegangan dan cara) mereka.” (Surah al-Baqarah 2:120).

Tuntasnya, polemik kalimah Allah antara penganut Islam dengan gereja Kristian dapat diselesaikan jika setiap pihak ikhlas dan jujur.  Yang lebih penting hendaklah diselesaikan tanpa mempunyai maksud tersirat dan kembali kepada asas kebenaran dalam ajaran agama masing-masing.

Dalam agama Kristian, nama Tuhan yang disebutkan dalam Bible asli ialah Yahweh, Elohim dan Jehovah. Mereka boleh menggunakan nama khas tersebut dalam Bible terjemahan bahasa Melayu, tanpa perlu mengambil dan merebut kalimah Allah daripada umat Islam di Malaysia.

Kalimah Allah merupakan nama Tuhan bagi umat Islam yang digunakan dalam al-Quran. Jika perkara ini dapat diterima dan dipatuhi oleh penganut Kristian, polemik ini tidak akan berpanjangan seperti yang berlaku kini.

Sikap berkeras gereja Katolik ini adalah pelik dan tidak baik kepada perpaduan dan keharmonian hidup rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama. Namun begitu, kita percaya terdapat sebahagian pengikut Kristian yang ikhlas dan jujur untuk menyelesaikan konflik ini secara benar.


Muhammad Rashidi Wahab (Dr.) ialah Pensyarah Kanan di Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi