20 Mei 2021, 00:46

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Media berasal daripada bahasa Latin medius yang bererti tengah, perantara atau pengantar. Dalam bahasa Arab media dikenali sebagai wasa’il al-i‘lam, iaitu saluran atau perantara bagi menyampaikan sebarang maklumat dan berita. Media perantara dan penyampai maklumat ini sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman bagi memastikan sesuatu maklumat dapat disebarkan, diterima, dilihat, didengar dan dibaca dengan sekelip mata. Hal ini jauh berbeza dengan penyebaran dan penerimaan maklumat pada suatu ketika dahulu yang memerlukan suatu tempoh masa untuk sampai kepada para penerima.

Sebenarnya dengan kemunculan pelbagai jenis peralatan komunikasi berteknologi tinggi untuk berhubung, seperti telefon pintar, komputer riba, tablet mahupun komputer meja yang bertujuan untuk mengakses Internet dan media baharu. Media baharu, seperti Whatsapp, Facebook, Youtube, Instagram, Facebook Messenger, Telegram dan Tiktok antara yang paling banyak diakses dan digunakan secara meluas.

Semua aplikasi ini memudahkan para pengguna menerima, melihat, membaca dan mendengar segala maklumat dan berita yang disebarkan dengan pantas. medium juga memudahkan seseorang untuk berkongsi maklumat dan berita tersebut ke mana-mana sahaja dengan  pantas sehingga kadangkala terlupa untuk menapis dan memastikan kesahihannya (tabayyun).

Sebagai akibatnya, media baharu yang sebenarnya boleh dimanfaatkan untuk meraih pahala dengan menyebarkan maklumat atau kebaikan yang dapat membangunkan kemuliaan dan kehebatan umat Islam, telah bertukar dan lebih terkenal sebagai media baharu yang begitu pantas menyebarkan “berita atau maklumat dosa” tanpa sempadan. Hal ini mengundang dan menjana dosa yang kadangkala tidak disedari pun oleh pengguna dan pelayar.

Jika diteliti dan dikaji, penggunaan media baharu telah menjadi fenomena global pada masa ini. Menurut Kajian Pengguna Internet tahun 2020 yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), pengguna Internet di Malaysia pada tahun 2020 adalah sebanyak 88.7 peratus. Kadar peratusan ini menunjukkan berlaku peningkatan sebanyak 1.3 peratus berbanding dengan jumlah pengguna Internet pada tahun 2018 sebanyak 87.4 peratus. Selain itu, data kajian menunjukkan antara media baharu yang paling popular digunakan ialah Whatsapp (98.7 peratus), Facebook (91.7 peratus) dan Youtube (80.6 peratus). Bagi mengakses media baharu ini pula, peralatan yang paling banyak digunakan ialah telefon pintar sebanyak 98.7 peratus berbanding dengan yang lain.

Jelas di sini bahawa, penggunaan media baharu sangat tinggi pada masa ini. Malah, dunia komunikasi kini semakin mesra dengan perkataan tular. Media baharu ini menjadi media bagi para penguna menularkan dan menyebarkan berita dengan begitu cepat dan meluas sama ada dalam bentuk cerita, berita, video mahupun gambar.

Banyak orang berlumba-lumba mahu menjadi orang yang terawal dan paling pantas berkongsi atau menyebarkan sesuatu maklumat dan berita. Namun begitu, lebih membimbangkan jika berita atau maklumat yang ditularkan tidak diselidik terlebih dahulu kesahihannya.

Seharusnya semua pengguna terutamanya para pengguna Muslim, perlu lebih berwaspada, mengambil langkah berjaga-jaga dan berhati-hati agar setiap maklumat, berita atau perkhabaran yang diperoleh dan tidak disebarkan tanpa sebarang asas atau bukti yang kukuh sehingga terbukti kesahihannya.

Tindakan supaya menyelidik bagi mendapatkan kebenaran berita yang diterima atau disampaikan oleh seseorang ada diperintahkan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud, “Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa-apa yang kamu telah lakukan”. (Surah al-Hujurat 49:9).

Imam al-Syaukani dalam Tafsir Fath alQadir berkata, “Yang dimaksudkan dengan tabayyun itu ialah tindakan memeriksa dengan teliti; dan yang dimaksudkan dengan tathabbut itu pula ialah tindakan berhati-hati dan tidak tergesa-gesa, melihat dengan keilmuan yang mendalam terhadap sesuatu peristiwa dan perkhabaran yang datang sehingga menjadi jelas dan terang”.

Banyak yang sering terlupa bahawa Allah SWT berpesan dalam firman-Nya agar umat Islam perlu bersikap hati-hati dengan cara meneliti dan mencari bukti tentang sesuatu isu seperti tuduhan atau hal yang menyangkut identiti seseorang. Hal ini lebih-lebih lagi yang disebarkan dalam media baharu hari ini. Adab atau sikap yang terkait dengan tabayyun ini ditekankan agar umat Islam tidak terjerumus dalam kancah fitnah, selain mengelakkan daripada mendengar atau membaca berita yang membahaskan keaiban dan membahayakan pemikiran. Demikianlah akhlak dan prinsip al-Quran agar sentiasa bersangka baik dan tidak gopoh untuk membuat kesimpulan bagi sesuatu perkhabaran.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesungguhnya seseorang hamba apabila menuturkan atau yang berbicara dengan suatu perkataan yang tidak dipastikan kebenarannya terlebih dahulu, akan membuatkannya dilempar ke dalam neraka dengan jarak yang lebih jauh dari jarak antara timur dengan barat”. (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Apabila akhlak dan prinsip Islam dilupakan dan tidak dihiraukan, maka akan wujudlah segelintir individu yang mengunakan media baharu sebagai medan atau tempat untuk mengadu domba, menabur fitnah dan berniat jahat untuk menjatuhkan maruah atau mendedahkan keaiban seseorang. Mereka sanggup mencipta atau mereka-reka sesuatu perkara yang tidak wujud dan tidak benar.

Abdul Rahman bin Ghanmin r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sekeji-keji manusia ialah mereka yang berjalan menabur fitnah, mereka yang melaga-lagakan antara insan yang berkasih sayang dan mereka yang mencari-cari kesalahan terhadap orang yang tidak bersalah”. (Hadis riwayat al-Haithami).

Sesungguhnya, sesiapa yang menaburkan fitnah tidak akan dimasukkan ke dalam syurga. Hal ini  dinyatakan dalam hadis yang diriwayatkan oleh Huzaifah r.a. bahawa beliau mendengar Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Penabur fitnah tidak akan masuk syurga”. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Pada hakikatnya seseorang itu sentiasa bertanggungjawab atas setiap perkara yang disebarkan agar tidak mendatangkan sebarang pendustaan atau pembohongan yang mendatangkan kemudaratan kepada orang lain.

Hafs bin ‘Asim r.a. menyatakan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Cukuplah seseorang itu digelar pendusta apabila menceritakan semua (perkara) yang didengarinya (tanpa tabayyun)”. (Hadis riwayat Muslim).

Oleh itu, dalam penggunaan media baharu pada hari ini adalah lebih baik seseorang itu berdiam diri apabila menerima maklumat yang tidak dapat dipastikan kesahihannya bagi menghindari perbalahan dan kekacauan yang menggugat kesejahteraan ummah.

Abu Hurairah r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Sesiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka hendaklah dia berkata baik atau hendaklah dia diam”. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Maka itu, semua pengguna media baharu diingatkan supaya tidak menggunakan nikmat kemudahan yang dikurniakan oleh Allah SWT ini untuk melakukan perkara mazmumah (keji) seperti menyebarluaskan dan menokok tambah sebarang maklumat atau berita yang tidak berasas dan tidak sahih, apatah lagi yang palsu dan direka-reka.

Media baharu ini pada asasnya adalah untuk memberikan kemudahan dan keselesaan dalam urusan komunikasi mahupun urusan pekerjaan. Jika kemudahan ini digunakan dengan niat yang betul, maka pasti akan membawa manfaat dan kesejahteraan dalam hidup, tetapi jika disalahgunakan, maka sudah tentu akan membawa kepada perkara yang sia-sia, merugikan dan boleh mengundang bencana, serta perbalahan dalam ummah.

Oleh hal yang demikian, dalam penggunaan media baharu, kita sebagai pengguna hendaklah sentiasa bertanggungjawab menggunakannya dengan bijaksana dalam perkara yang bermanfaat dan bukan dalam perkara yang sia-sia. Elakkanlah daripada terjerumus ke dalam lembah dosa dan maksiat, seperti melemparkan tuduhan, menyebarkan fitnah, mencaci, menghina, mengaibkan seseorang, dan seumpamanya.

Sedarlah bahawa apa-apa yang telah diterima lebih-lebih lagi dengan prasangka dan disebarkan pasti akan disoal dan dipertanggungjawabkan kepada setiap individu yang terlibat pada hari akhirat kelak.


Mohd Shukri Hanapi (Dr.) ialah Pensyarah Kanan di Pusat Kajian Pengurusan Pembangunan Islam (ISDEV), Universiti Sains Malaysia.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.