3 Mei 2021, 13:47

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

Kunjungan Ramadan pada setiap tahun menjanjikan ganjaran dan pahala hingga mencecah tujuh ratus kali ganda besarnya. Di balik keterujaan menyahut seruan rukun Islam ketiga ini, dengan semangat melaksanakan ibadat sunat yang digalakkan sepanjang Ramadan, orang yang berpuasa sering berasa terganggu dengan nafas dan mulut berbau. Hal ini amat menjejaskan keselesaan dalam urusan seharian. Bahkan individu yang mengalami masalah ini akan hilang keyakinan diri semasa berkomunikasi dengan orang lain.

Memetik sepotong hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a., Rasullulah SAW bersabda yang bermaksud, “Demi diriku berada di tangannya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa lebih baik di sisi Allah pada hari kiamat daripada bau kasturi, mereka meninggalkan makan minum dan nafsu syahwat kerana-Ku”. (Hadis riwayat al-Bukhari, no.1771).

Tidak dinafikan, terdapat segelintir individu menyalahtafsirkan hadis berkenaan dengan membiarkan nafas dan mulut berbau sepanjang hari ketika berpuasa sehingga menimbulkan rasa rimas dan jelek daripada orang di sekeliling.

Sebenarnya, semasa berpuasa selama 12 jam atau lebih tanpa makan dan minum mengakibatkan tiada rangsangan mencukupi untuk menghasilkan air liur menyebabkan mulut menjadi kering. Air liur mengandungi enzim berfungsi untuk menguraikan makanan di dalam mulut.

Tambahan pula, air liur yang bersifat alkali akan meneutralkan keasidan dalam mulut hasil tindak balas bakteria terhadap sisa makanan. Bakteria dalam mulut juga akan mengeluarkan gas sulfur penyebab mulut berbau. Lantaran itu, memberus gigi atau bersugi merupakan langkah untuk membangkitkan kembali kesegaran nafas individu berpuasa.

Dari sudut agama Islam, tuntutan bersiwak atau bersugi merupakan perkara sunat yang amat disukai yang membuktikan Islam sangat mementingkan kebersihan. Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Kalaulah tidak menyusahkan umatku nescaya aku akan perintahkan mereka bersiwak pada setiap solat”. (Riwayat al-Bukhari, no. 887).

Para fuqaha mazhab mensyarahkan tentang waktu sunat untuk bersiwak seperti yang dimaksudkan dalam hadis berkenaan. Dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh karya Dr. Wahbah al-Zuhaili, menjelaskan seperti yang disepakati oleh mazhab Syafii dan Hanbali, waktu sunat bersiwak yang disukai adalah ketika selesai membasuh tangan, sebelum berkumur semasa mengambil wuduk.

Selain itu, selepas bangun daripada tidur juga merupakan waktu yang disunatkan untuk bersiwak seperti sabda Rasulullah yang bermaksud, “Rasulullah SAW apabila bangun di malam hari, Baginda mengosok mulutnya dengan siwak”. (Hadis riwayat al-Bukhari no. 245).

Persoalannya, adakah memberus gigi menggunakan ubat gigi seperti hari ini menepati sunah seperti Rasullullah SAW yang memberus gigi menggunakan kayu siwak sahaja? Merujuk kitab al-Taqrirat al-Sadidah, bersiwak tidak hanya menggunakan kayu siwak, tetapi dibolehkan dengan alat lain yang bersifat kesat.

Dalam kitab al-Mu‘tamad fi Fiqh al-Syafi‘i memberikan contoh bahawa berus gigi umpama alat siwak yang boleh digunakan untuk membersihkan gigi dan rongga mulut. Oleh itu, perbuatan memberus gigi menggunakan berus gigi dan ubat gigi juga memenuhi maksud bersiwak sebagai satu tuntutan sunah.

Islam menganjurkan untuk memulakan sesuatu perbuatan mulia dengan berniat kerana Allah SWT dan dimulai dari sebelah kanan. Memberus gigi dan bersiwak juga amalan yang mulia. Umat Islam dituntut memulakannya dengan niat sunat bersiwak, menggunakan tangan kanan untuk memberus gigi bermula dari gigi geraham hingga gigi kacip atas dan bawah di sebelah kanan, lalu diulangi kaedah yang sama untuk gigi di sebelah kiri seperti yang dinyatakan dalam kitab al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh. Demikian bukti kesyumulan Islam yang melitupi segala aspek kehidupan, hatta tatacara memberus gigi.

Amalan memberus gigi semasa berpuasa adalah diharuskan berdasarkan pandangan Imam Nawawi bersandarkan amalan Rasulullah SAW yang bersiwak setiap kali sebelum solat termasuklah ketika berpuasa. Namun begitu, amalan perlu dilakukan secara bersederhana sekadar menghilangkan bau mulut yang kurang enak. Agar tidak tertelan ubat gigi atau lebihan kumuran.

Dalam konteks amalan penjagaan kesihatan mulut dalam perubatan moden, setiap individu disaran menggunakan berus gigi yang lembut dan berkepala kecil untuk membersihkan gigi secara menyeluruh seperti tatacara yang digariskan dalam Islam. Bagi melestarikan nafas sepanjang berpuasa, amalkan memberus gigi sebelum menunaikan solat meneladani sunah junjungan agung, selagi tidak mengundang asbab terbatalnya puasa.

Meskipun begitu, amalan memberus gigi sebelum tidur ketika bulan puasa juga satu kemestian seperti amalan pada bulan lain. Perembesan air liur berkurang sewaktu tidur. Hal ini akan membenarkan bakteria bertindak balas dengan sisa makanan yang terlekat pada gigi, seterusnya menghasilkan asid yang menyebabkan bau masam di dalam mulut. Keadaan berasid ini mengakibatkan permukaan gigi mudah mereput, membentuk lubang pada gigi dan keradangan gusi.

Gunakanlah ubat gigi pada kadar sederhana, iaitu sebesar kacang pis untuk menghindarkan tertelan lebihan ubat gigi semasa memberus. Ubat gigi yang baik ialah ubat gigi yang mengandungi fluorida, seperti sodium fluorida dan sodium monofluorofosfat dan bahan antibakteria, seperti triklosan dan kopolimer. Flourida bertindak sebagai tembok perlindungan gigi daripada kerosakan yang disebabkan oleh bakteria.

Di samping itu, penggunaan flos pergigian juga sangat disarankan bagi membersihkan celah-celah gigi yang tidak terjangkau ketika memberus. Bagi sesetengah individu, memberus dan flos gigi masih tidak dapat menghilangkan bau mulut ketika berpuasa. Penggunaan ubat kumur yang mengandungi bahan antibakteria seperti cetilpiridinium klorida, disyorkan kerana dapat membasmi bakteria yang terselindung di dalam rongga mulut dan menjadi punca mulut berbau.

Bagi mencapai kebersihan mulut optimum, lokasi lain tempat pengumpulan bakteria seperti di lidah, hendaklah diberi perhatian. Berus dengan lembut pada kawasan lidah bermula dari pangkal hingga hujung lidah secara membujur menggunakan berus gigi atau alat khas pencakar lidah.

Secara umumnya, pembersihan bahagian ini akan menyebabkan rasa loya dan berisiko untuk termuntah terutama bagi individu yang sensitif atau pertama kali mencuba teknik ini. Oleh itu, disyorkan melakukannya sebelum tamat waktu Imsak bagi mengelakkan terbatalnya puasa.

Bagi melazimi kebiasaan baharu dan pematuhan prosedur operasi standard (SOP), kita mesti peka terhadap tahap kebersihan semua peralatan yang digunakan demi mengurangkan sebarang risiko jangkitan. Umpamanya menggantikan berus gigi dan alat penjagaan pergigian setiap tiga bulan bagi menjamin keberkesanan fungsi dan kebersihannya.

Pengambilan air kosong yang mencukupi, iaitu lapan hingga sepuluh gelas pada waktu malam membantu mengurangkan mulut berbau ketika berpuasa. Air yang diminum akan meningkatkan pengeluaran air liur dan pada masa yang sama memenuhi keperluan cecair badan agar cergas sepanjang hari dalam melunaskan tugas di tempat kerja dan seumpamanya.

Selain itu, mengehadkan atau mengelakkan makanan berbau kuat, seperti petai, bawang dan durian ketika berbuka puasa, moreh mahupun sahur. Tabiat mengunyah gula-gula getah tanpa gula dan berperisa setelah selesai bersahur antara kaedah yang boleh dipraktikkan untuk mengurangkan bau makanan dan menanggalkan sisa makanan yang terlekat pada gigi bagi merangsang penghasilan air liur secara optimum.

Aspek kesihatan pergigian, seperti gigi berlubang, karang gigi dan masalah gusi juga antara faktor penyumbang nafas dan mulut berbau. Masalah ini dapat diatasi jika menerima nasihat dan rawatan daripada doktor untuk mengenal pasti dan merawat penyakit berkaitan gigi dan mulut. Mungkin juga perlu dirujuk kepada pakar perubatan jika ketidaksegaran nafas dan mulut berbau berpunca daripada masalah tonsil, pencernaan, pernafasan atau penyakit lain.

Usah khuatir, tanggapan prosedur yang dilakukan oleh doktor pergigian dapat membatalkan puasa hanya andaian semata-mata. Pada hakikatnya rawatan pergigian diharuskan oleh syarak dan tidak memudaratkan kesempurnaan puasa.

Selain memelihara kesegaran nafas dan mengatasi mulut berbau, antara hikmah lahiriah di balik tuntutan sunah menggosok gigi ialah menjamin kesihatan gigi dan gusi, serta menajamkan penglihatan dan akal. Manfaat batiniah pula ialah mendapat keredaan Allah SWT. Sayidatina Aisyah r.anha meriwayatkan bahawa  Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud, “Siwak itu menyucikan mulut dan mendatangkan keredaan Allah”. (Hadis riwayat Nasa’i, no. 4).

Walaupun isu nafas kurang menyenangkan dan mulut berbau sering terjadi sewaktu berpuasa, perkara ini boleh dihindari dengan mengamalkan penjagaan kesihatan mulut yang baik.

Abu Malik al-Asyari r.a. meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud,  “Bersuci itu sebahagian daripada iman”. (Riwayat Muslim, no. 556).

Oleh itu, jadikanlah keberkatan Ramadan ini sebagai sebuah madrasah untuk memperbaiki diri termasuklah kesihatan mulut kerana kebersihan merupakan refleksi ampuh seorang Mukmin.


Md Muziman Shah Md Mustafa (Dr.) ialah Profesor Madya dan Pensyarah Kanan di Kulliyyah Sains Kesihatan Bersekutu, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia. Makalah ini ditulis secara bersama dengan Dr. Noorhazayti Ab. Halim, Pakar Kesihatan Awam Pergigian di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia.

 

 

 

 

 

Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi