3 Mei 2021, 11:55

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram

Langgan Sekarang

PADANG BESAR – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) telah memperuntukkan sejumlah RM3 001 323.40 untuk disalurkan kepada masjid seluruh negeri Perlis bagi tahun ini.

Penyerahan sumbangan tersebut telah disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang Dipertua MAIPs dalam majlis yang diadakan di Masjid Nurul Husna, Wang Kelian.

Pada majlis yang sama, baginda berkenan menyerahkan simbolik sumbangan Bantuan Baik Pulih Rumah Mikro berjumlah RM2 406 718.70 dan sumbangan Ziarah Dakwah Bil Hal daripada MAIPs bernilai RM594 603.70.

Hadir sama mengiringi keberangkatan tiba baginda ke majlis yang disekalikan dengan aktiviti Hijrah Minda MAIPs itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor dan Timbalan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Perlis (JAIPs), Mohd Hafiz Abu Seman.

Baginda bertitah bahawa MAIPs telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam Pelan Strategik MAIPs 2021-2025 sebagai hala tuju kelestarian agihan zakatnya.

“Melalui dokumen ini, tersusun pelbagai perancangan MAIPs dalam usaha mendepani cabaran semasa bagi melaksanakan fungsi dan peranannya, selain turut membawa hala tuju yang jelas dalam meneruskan agenda pengurusan hal ehwal Islam yang cemerlang,” titah baginda.

Tambah baginda lagi, MAIPs juga telah menyediakan Pelan Agihan Holistik MAIPs 2.0 dan Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0 sebagai panduan gerak kerja agensi tersebut.

Turut diadakan di lokasi yang sama ialah penyerahan bantuan agihan zakat MAIPs kepada seramai 30 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid berkenaan.

Artikel ini ialah © Hakcipta Terpelihara JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel utama setiap hari terus ke e-mel anda?

Kongsi

error: Artikel ini ialah Hakcipta Terpelihara JendelaDBP.