Diterbitkan pada 17 Disember 2023, 23:00

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menitahkan bahawa sistem bayaran dalam talian Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) melalui laman portal rasmi www.maips.gov.my yang terkini memudahkan urusan tranksaksi dalam talian.

Antara keistimewaan sistem tersebut termasuklah peluasan bayaran wakaf, sumber am, sedekah termasuk bayaran sewaan premis MAIPs, selain turut dimantapkan dengan platform gerbang pembayaran dalam talian yang tidak hanya terikat kepada medium “fpx”, tetapi turut dikembangkan melalui sistem bayaran kad debit, serta melalui aplikasi “TouchNgo”, “GrabPay”, “Boost”, “DuitNow QR”, dan “Shoppe Pay”.

Demikian titah DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra selepas berkenan berangkat ke program Hijrah Minda MAIPs Edisi Ke-20 bagi tahun 2023 yang dilaksanakan di Masjid Ar Rahim, Kangar.

Seramai 20 orang asnaf terpilih dalam kalangan anak kariah masjid tersebut menerima agihan zakat MAIPs berjumlah RM400 setiap seorang daripada baginda dengan jumlah penuh bernilai RM8000.

Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika menyampaikan aguhan zakat MAIPs kepada asnaf di Masjid Ar Rahim, Kangar.

DYTM Tuanku Raja Muda turut menekankan bahawa MAIPs terus komited untuk meningkatkan perkhidmatannya dengan menggunakan teknologi digital terkini.

Baginda sebagai Yang DiPertua MAIPs yakin kemajuan dan kecanggihan teknologi dapat membantu meningkatkan lagi kadar produktiviti agensi berkenaan, dan menjadikan segala urusan lebih pantas dan efisien.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor, turut memaklumkan bahawa pelbagai perancangan menyeluruh dalam pengurusan teknologi maklumat dan pendigitalan perkhidmatan telah ditetapkan bagi menyokong aspirasi perkhidmatan mampan oleh MAIPs.

Sehubungan dengan itu, pihak pengurusan MAIPs menetapkan beberapa sasaran pencapaian pemantapan pengurusan dan perkhidmatan melalui inisiatif pendigitalan selaras dengan Pelan Tindakan Agihan Holistik MAIPs 2.0.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi