Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) melancarkan Pelan Transformasi Najjah bagi meletakkan YaPEIM sebagai sebuah institusi amal jariah pilihan, rakan strategik ekonomi negara, dan mencapai lonjakan reputasi serta pengiktirafan melalui peranan dalam ekosistem pembangunan ekonomi Islam.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im Haji Mokhtar berkata, pelan ini juga bertujuan untuk membina YaPEIM sebagai sebuah Badan Pembangunan Sosial yang merangkumi aspek-aspek pembangunan ekonomi Islam, pendidikan dan pembangunan sosial, serta menjadikannya sebuah pusat kecemerlangan yang relevan dan sebagai rujukan pada peringkat nasional mahupun global dalam pembangunan ekonomi Islam.
Menurut beliau, najjah yang bermaksud kejayaan merupakan titik tolak ke arah usaha memperkasakan YaPEIM sebagai sebuah agensi kerajaan di bawah Jabatan Perdana Menteri, Hal Ehwal Agama, supaya terus cemerlang dan relevan serta menjadi rujukan pada peringkat kebangsaan dan global.

“Transformasi Najjah YaPEIM juga berlandaskan enam teras pelaksanaan, iaitu kewangan, operasi, perundangan dan tadbir urus, sumber manusia dan budaya organisasi, perniagaan dan pelaburan serta penjenamaan dan komunikasi,” katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran Pelan Transformasi dan Perubahan YaPEIM di Pusat Pameran dan Konvensyen MATRADE (MECC), semalam.
Tambah beliau, dalam pelaksanaan walau apa-apa juga transformasi, elemen pembangunan warga kerja tidak boleh dilupakan kerana hal yang demikian merupakan antara asas utama kepada kejayaan transformasi sesebuah organisasi, dan dalam pelan ini, sumber manusia dan budaya organisasi merupakan teras keempat daripada enam teras pelaksanaan.
Katanya, lima nilai al-Falah yang disenaraikan dalam Pelan Transformasi al-Falah amat relevan dalam pembangunan insan dan budaya organisasi ini.
Dalam konteks Transformasi Najjah YaPEIM, nilai-nilai tersebut dapat membina YaPEIM dengan warga kerja yang berilmu, ikhlas, istiqamah dalam apa-apa saja yang dilakukan, itqan atau melaksanakan sesuatu dengan kompeten dan bersungguh-sungguh, dan berintegriti.
Beliau menegaskan, semua perancangan yang disusun dalam Transformasi Najjah perlu dilaksanakan sehabis baik mengikut perancangan agar dapat melakarkan wajah baharu dan progresif kepada institusi YaPEIM yang telah menjangkau usia 47 tahun penubuhannya.
Majlis pelancaran tersebut turut disiarkan secara dalam talian melalui laman Facebook YaPEIM.