Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) menyalurkan bantuan zakat berjumlah RM4 475 600 kepada 11 189 orang penerima daripada kalangan asnaf fakir miskin di 102 buah kariah masjid di seluruh negeri Perlis.
Pelancaran bantuan zakat tersebut telah disempurnakan oleh Pemangku Raja Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail pada Majlis Iftar Jamaie Ahli Majlis dan Jawatankuasa-jawatankuasa di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) pada 6 April lepas.

Majlis berkenaan merupakan acara tahunan anjuran MAIPs sebagai satu medium interaksi bagi menghimpunkan pelbagai tokoh dalam memberikan sumbang saran terhadap prestasi dan pencapaian MAIPs.
Berangkat sama ke majlis berkenaan ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil serta diiringi anakanda-anakanda Baginda.
Ketika bertitah pada majlis berkenaan, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail mengingatkan agar setiap inisiatif yang dilaksanakan oleh MAIPs hendaklah sentiasa realistik dan menepati keperluan yang dihasratkan oleh rakyat.

DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra turut bertitah agar MAIPs sentiasa bersedia dengan dinamika kehidupan rakyat masa kini serta sentiasa mengambil pendekatan yang relevan, progresif dan berorientasikan hasil dengan mengekalkan teras ajaran agama serta bertunjangkan prinsip al-Quran dan Sunah.
Selain itu, sesi “Pembentangan Pencapaian MAIPs Tahun 2022” turut disampaikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Hj Mohd Nazim Mohd Noor.