Diterbitkan pada 17 Mac 2023, 15:21

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan mengumumkan sumbangan dana sebanyak RM2 juta kepada Yayasan Gabungan Persatuan Institusi Tahfiz al-Quran Kebangsaan (PINTA) bagi memperkasakan institusi tahfiz di negara ini.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, pada masa ini terdapat 175 000 pelajar tahfiz daripada 1199 maahad tahfiz berdaftar, manakala 125 000 pelajar tahfiz lagi di maahad tahfiz yang tidak berdaftar.

Timbalan Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi ketika berucap sebelum melancarkan DPTN 2.0.

“Yayasan PINTA akan membantu maahad tahfiz yang tidak berdaftar ini kerana mereka tidak mendapat bantuan kerajaan disebabkan tidak memenuhi syarat,” katanya ketika berucap pada majlis Himpunan 23K Huffaz Malaysia di Masjid Wilayah Persekutuan baru-baru ini.

Yayasan PINTA dan Koperasi PINTA merupakan dua institusi yang dilancarkan secara rasmi di bawah PINTA, iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang memperjuangkan kebajikan huffaz dan maahad tahfiz di seluruh negara.

Menurutnya, pihak kerajaan sentiasa memberikan komitmen untuk terus mengangkat kedudukan al-Quran dari segenap segi termasuk pengukuhan dasar, pembangunan institusi dan pendekatan pelaksanaannya yang komprehensif.

“Komitmen ini sejajar dengan gagasan Malaysia Madani, kerangka besar pembangunan negara kita hari ini yang menekankan konsep pembangunan yang syumul,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, Jawatankuasa Projek Khas Huffaz Profesional dipengerusikan beliau sendiri, membabitkan pelbagai agensi termasuk Kementerian Pendidikan (KPM) dan Majlis Amanah Rakyat (MARA) bagi membangunkan tujuh modul yang signifikan dalam usaha merealisasikan agenda melahirkan sebanyak 125 000 huffaz profesional di seluruh negara pada tahun 2050.

Beliau juga berkata, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersetuju Pelan Tindakan Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN) 2.0 dan Garis Panduan Pengurusan Institusi Tahfiz dilancarkan pada majlis tersebut.

Pelan ini merupakan kesinambungan kepada Pelan Tindakan DPTN 2016-2020 dan proses pembangunan pelan ini akan diurus setia oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) membabitkan pelbagai pihak lain, iaitu Pihak Berkuasa Agama Negeri (PBAN), agensi kerajaan dan persatuan tahfiz.

DPTN 2.0 bertujuan untuk memperlengkapkan lagi ekosistem pendidikan tahfiz negara selain selari dengan dasar pendidikan kebangsaan negara.

Dasar ini akan membantu pengurus tahfiz meningkatkan lagi tadbir urus tahfiz dengan lebih teratur dan sistematik sekali gus memastikan pengurusan kurikulum serta pelaksanaan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dapat membentuk hala tuju pendidikan tahfiz yang jelas.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi