Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangArau – Setakat ini, seramai 38 orang pelajar peringkat Doktor Falsafah (Ph.D) tajaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) sedang mengikuti pengajian masing-masing di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), dan ada antara mereka yang akan menamatkan pengajian masing-masing pada tahun ini. Mereka merupakan pelajar di bawah program Biasiswa Kursi Jamalullail.
Antara objektif penubuhan kursi ini termasuklah untuk memberikan 50 biasiswa kepada rakyat Malaysia dan antarabangsa untuk mengikuti pengajian peringkat ijazah kedoktoran di UIAM. Selain itu, penubuhannya juga bertujuan untuk melonjakkan penyelidikan dalam bidang tersebut bagi menyelesaikan masalah dan isu yang dihadapi oleh komuniti setempat.
Geran Penyelidikan Jamalullail merangkumi 24 projek yang membabitkan topik pembangunan ekonomi asnaf zakat melibatkan fakir dan miskin, pendidikan, autisme, pelancongan, pengurusan masjid, pengurusan kubur dan pembangunan ekonomi ibu tunggal yang dilaksanakan melalui bidang Pengajian Islam (8), Kewangan dan Perbankan Islam (6), Pelancongan (2), Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris (2) serta Pendidikan (10).

Demikian dipersembahkan oleh Rektor UIAM, Profesor Emeritus Tan Sri Dato’ Dzulkifli Abdul Razak ketika majlis sembah mengadap ke atas Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail di Istana Arau.
Berangkat sama ialah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.
Turut hadir mewakili UIAM pula ialah Penyelaras Kursi Jamalullail, Dr. Mohd Azrul Azlen Abd. Hamid; Pengarah Pejabat Ilmu untuk Perubahan dan Kemajuan (KCA), Profesor Madya Dr. Lihanna Borhan; Timbalan Pengarah, Pengurusan Pengubahan dan Holokrasi (OSIC), Dr. Zurina Abd Ghani; dan Timbalan Pengarah, Pejabat, Ilmu untuk Perubahan dan Kemajuan (KCA), Rusnani Din@Yaakob.
Tuanku Syed Sirajuddin menitahkan rasa bangga kerana hasrat penubuhan Kursi
Jamalullail berkenaan telah menunjukkan impak positif dalam usaha menyejahterakan ummah, dan hasil sumbangan zakat dapat terus dikembangkan bagi meninggikan syiar Islam.
Kursi itu juga telah memperoleh pengiktirafan antarabangsa melalui IIUM Flagship: ‘Stingless Bee Smart Farming’ oleh Profesor Madya Dr. Adibah Amir dan pasukan sebagai Finalist in the 2022 International Green Gown Award Benefitting Society Category.
Antara persidangan antarabangsa yang telah dan akan dilaksanakan setakat ini termasuklah The Inaugural Jamalullail Chair for Prophetic Sunnah International Conference (JCIC1) pada 18-19 November 2020, International Conference On Languages, Education and Tourism 2021 (ICLET 2021) pada 28-30 Jun 2021 dan The Third Jamalullail Chair International Conference On Sustainable Development Goals (JCIC SDG) pada 7-9 Disember 2022.
Untuk rekod, Kursi Jamalullail merupakan inisiatif MAIPs bagi mempromosikan penyelidikan dan pengajian khusus dalam bidang Pengajian Islam, Perbankan dan Kewangan Islam, Pengajian Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris, Pelancongan dan Pendidikan Awal Kanak-Kanak. Penubuhan kursi ini telah dirasmikan oleh Tuanku Raja Perlis pada 7 Februari 2019.