Diterbitkan pada 11 April 2022, 22:26

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Padang Besar – Usaha dan inisiatif untuk melaksanakan kerja-kerja kebajikan hendaklah merentasi sempadan agama dan bangsa kerana hal tersebut bersifat universal dan tidak terhad berdasarkan perbezaan warna kulit dan kepercayaan seseorang individu.

Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Tuanku Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) selepas berkenan berangkat menyaksikan penyerahan ‘Sumbangan untuk Program Ihya Ramadan kepada Rumah-rumah Kebajikan di Bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Perlis’ bernilai RM30 000 daripada MAIPs di pekarangan masuk Padang Waremart, Padang Besar pada petang semalam.

Baginda menyeru agensi berkaitan dan anggota masyarakat agar sama-sama memainkan peranan dalam memberikan perhatian dan bantuan untuk memastikan mereka tidak merasa kesunyian dan terpinggir walaupun tinggal di rumah kebajikan.

Tuanku Raja Muda berkenan menyaksikan simbolik penyerahan sumbangan tersebut diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor melalui Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri, Mohammad Hazam Ismail.

Rumah Sri Kenangan Jejawi, Rumah Kanak-Kanak Arau, Rumah Sejahtera Batu Bertangkup, Rumah Baitul Hanan Behor Mali Simpang Empat, Teratak Rahmat, Persatuan Al Islah Mata Ayer dan Pertubuhan Kebajikan dan Amal Rumah Teduh Kangar masing-masing menerima RM5000 daripada MAIPs untuk tujuan tersebut.

Program itu diadakan sempena aktiviti Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan ke-30 bagi tahun 2022. Terdahulu daripada itu, Tuanku Syed Faizuddin Putra turut berkenan menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs dua orang asnaf di rumah mereka di sekitar kawasan Padang Besar. Masing-masing menerima RM700, sekampit beras dan sekotak bahan makanan mentah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi