Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKangar – Menjadi suatu kemestian bagi setiap guru agama di negeri Perlis untuk memahami, menghayati dan berpegang dengan manhaj Ahli Sunah Wal Jamaah seperti yang termaktub dalam Undang-Undang Tubuh Negeri Perlis. Dari aspek fiqah pula, mereka perlu mengamalkan semua mazhab Ahli Sunah Wal Jamaah selagi membawa kepada pemahaman sunah yang sahih.
Demikian titah Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan berangkat merasmikan Majlis Multaqa Murabbi Ummah (MMU) Peringkat Negeri Perlis Tahun 2022M/1443H yang diadakan di Masjid Tuanku Syed Putra Jamalullail Kangar pada petang semalam.
Menurut baginda tuanku, jentera pentadbiran negeri dan Persekutuan yang berkhidmat di negeri Perlis mestilah berusaha dan hendaklah memahami peranan guru dan murabbi ini. Dalam hal ini, bantuan daripada agensi agama Persekutuan, khususnya Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diperlukan bagi memastikan proses pemahaman tersebut dipermudah bagi mereka yang berkenaan.
Semua guru agama juga mestilah mendapat tauliah mengajar yang dikeluarkan melalui Jabatan Mufti Negeri Perlis. Kegagalan untuk berbuat demikian akan menyebabkan mereka diambil tindakan berdasarkan peruntukan undang-undang, iaitu seksyen 33 Enekmen Jenayah Dalam Syarak dan seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Perlis

Program tersebut dianjurkan oleh agensi agama Islam Negeri Perlis, yang diterajui Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Jabatan Mufti Negeri Perlis dan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) dengan kerjasama agensi agama Persekutuan, khususnya JAKIM.
Hadir sama ialah Menteri Agama, Senator Datuk Haji Idris Haji Ahmad dan Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) JAKIM, Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee.
“Kedudukan guru dan murabbi mulia di sisi agama Islam. Di bahu mereka terpikulnya tanggungjawab mendidik dan membimbing umat untuk kekal berada di jalan yang benar. Sudah tentu peranan ini akan menentukan nasib dan keadaan umat pada masa hadapan,” titah baginda.
Tuanku Raja Muda berharap Program Multaqa Murabbi ini dijadikan medium perkenalan, penyatuan, dan penyelarasan kepada semua guru agama di negeri ini. Baginda menyokong usaha sebegini dalam rangka memaju dan merancakkan lagi kelas pengajian agama, khususnya di masjid dan surau dalam negeri ini, sesuai dengan jolokannya sebagai “Negeri Ilmu”.