Diterbitkan pada 8 April 2022, 12:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Ibni Almarhum Tuanku Syed Putra Jamalullail berkenan berangkat menyempurnakan majlis penganugerahan Tauliah Pelantikan Ahli Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) dan Pelantikan Ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs di Hotel Putra Regency, Kangar, Perlis malam kelmarin.

Pentauliahan berkenaan dimulai dengan Pengurniaan Tauliah Pelantikan kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs, diiringi Ahli-ahli Majlis terdiri daripada Menteri Besar Perlis, YBhg. Dato’ Seri Azlan Man, Timbalan Yang DiPertua, YBrs. Dr. Hj. Hazman Hassan, Setiausaha Kerajaan Negeri Perlis, YBhg. Dato’ Seri Hasnol Zam Zam Hj. Ahmad, Penasihat Undang-undang Negeri Perlis, YBrs. Tuan Mohd Radhi Abas, dan Mufti Negeri Perlis, YBhg. Dato’ Arif Perkasa Dr. Mohd Asri Zainul Abidin.

Majlis berkenaan adalah signifikan kepada pentauliahan rasmi pelantikan Ahli Majlis dan Ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs yang bertanggungjawab dalam menasihati baginda selaku Raja Pemerintah dan Ketua Agama Negeri dalam perkara berkaitan hal ehwal Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis.

Selain itu, turut diperkenankan pelantikan sebagai Ahli Majlis, YBhg. Dato’ Murshid DiRaja Dr. Juanda Jaya, YBhg. Prof. Emeritus Datuk Ir. Ts. Dr. Kamarudin Hussin, Ketua Polis Perlis, YBhg. DCP Dato’ Surina Saad, YBhg. Dato’ Kaya Bakti Dr. Mohd Radzi Othman, YBhg. Datin Hjh. Naimah Jaafar,  Pengarah Jabatan Pelajaran Negeri Perlis, YBrs. Naharudeen Othman, YBrs. Dr. Nizamuddin Zakaria dan Setiausaha Majlis, YBrs. Tuan Hj. Mohd Nazim Mohd Noor.

Selain itu, Tuanku Syed Sirajuddin turut berkenan menyempurnakan Penganugerahan Tauliah Pelantikan Ahli-ahli Jawatankuasa di bawah MAIPs seperti Jawatankuasa Kewangan MAIPs, Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis, Jawatankuasa Pengawasan dan Pengajaran Agama Islam Perlis, Jawatankuasa Adat Istiadat Melayu Perlis dan Jawatankuasa Pengurusan Zakat.

Program ini disusuli dengan Majlis Iftar Jamaie DYMM Tuanku Raja Perlis bersama-sama Ahli Majlis 1443H / 2022. Baginda berdua solat maghrib berjemaah diimamkan Imam Besar Negeri Perlis, Ahmad Sirajuddin Abdul Satar dan isyak oleh Pegawai Hal Ehwal Islam Bahagian Takmir Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs), Ameer Ikhwan Zaini. Dr. Mohd Asri turut menyampaikan tazkirah di antara waktu kedua-dua solat tersebut. Terdahulu, sebelum keberangkatan DYMM Tuanku Raja Perlis di lokasi yang sama, turut diadakan ialah Majlis Apresiasi Perkhidmatan Terpilih Jabatan Dan Agensi Agama bersama-sama MAIPs Tahun 2021 yang disempurnakan perasmiannya oleh DYTM Tuanku Raja Muda.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi