Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Perlis – Berdasarkan Sorotan Pencapaian Pelan Strategik KUIPs bagi tahun 2021, Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs) akan melaksanakan Teras Aspirasi Rektor 2022 yang merupakan elemen pengukuhan dan agenda dalam struktur tadbir urus dan pentadbiran KUIPs bagi tahun 2022.
Antara elemen #KUIPsDiHati yang akan diberikan perhatian dan tindakan termasuklah penjajaran pengurusan, kecemerlangan akademik, tadbir urus (kesegeraan), pemerkasaan imej (KUIPs) dan mahasiswa holistik.
Demikian dipersembahkan oleh Rektor KUIPs, Profesor Madya Dr. Muhamad Rozaimi Ramle kepada Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Tuanku Canselor KUIPs, dalam Majlis Sembah Menghadap ke Atas Tuanku Canselor pada petang semalam secara dalam talian. Turut dibentangkan ialah Pencapaian Pelan Strategik KUIPs 2021 dan Inisiatif Penganjuran Majlis Aspirasi KUIPs 2022.
Profesor Madya Dr. Rozaimi menyatakan rasa terharu beliau kerana Tuanku Raja Muda sudi mendengar dan sedia ikut serta memberikan idea bernas untuk dilaksanakan oleh KUIPs demi memajukan lagi kolej universiti berkenaan.
Untuk rekod, bagi tempoh 2017-2022 KUIPs telah berjaya melahirkan 791 orang graduan. Pada masa ini, KUIPs yang bernaung sepenuhnya di bawah Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) juga telah mempunyai 1063 orang pelajar aktif, iaitu 10 peratus daripadanya merupakan pelajar antarabangsa dari 15 buah negara yang terdiri daripada Vietnam, Thailand, Indonesia, Myanmar, Filipina, Kemboja, Algeria, Tunisia, Jordan, Sudan, Palestin, Mali, Nigeria, Ghana dan Bangladesh.