Diterbitkan pada 25 Februari 2022, 18:51

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Simpang Empat – Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) hari ini menyerahkan sumbangan  sebanyak RM200 000 berupa Wakaf Ilmu kepada Kolej Universiti Islam Perlis (KUIPs). Sumbangan tersebut merupakan inisiatif KUIPs bagi mengumpulkan dana untuk program penyelidikan dan biasiswa pelajar melalui endowmen dengan kerjasama pihak Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Penyerahan tersebut diterima oleh Rektor KUIPs, Dr. Rozaimi Ramle daripada Yang DiPertua IKRAM, Dr. Haji Muhammad Azhar Zailaini sambil disaksikan oleh Canselor KUIPs, Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail.

Dr. Rozaimi Ramle merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak IKRAM atas sumbangan tersebut dan mendoakan pahala yang berterusan buat mereka. Beliau berkata, orang ramai juga boleh terus menyumbang ke akaun KUIPs, 25901800007531 (RHB Islamic Bank).

Pada majlis yang sama, IKRAM turut menyumbangkan RM100 000 kepada MAIPs untuk Rumah Perlindungan MAIPs yang diserahkan kepada Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Turut hadir ke program yang disekalikan dengan ‘Program Kayuhan MAIPs Peduli Bilangan Ke-14′ bagi tahun 2022 yang bermula dan berakhir di Masjid Long Boh tersebut ialah beberapa orang Ahli Jawatankuasa IKRAM Malaysia.

Dr. Haji Muhammad Azhar Zailaini berharap agar sumbangan tersebut dimanfaatkan dalam tabung wakaf, sebagai tambahan atau “seed money” untuk KUIPs mengembangkan lagi konsep wakaf kerana telah terbukti bahawa kebanyakan universiti Islam besar di dunia ini juga membangun atau berkembang dengan sumber wakaf. Menurut beliau lagi, inisiatif program MAIPs Peduli ini sangat hebat kerana diketuai sendiri oleh Tuanku Raja Muda Perlis dalam usaha untuk menyantuni rakyat, dan turut diiringi pegawai kanan pelbagai agensi dan swasta yang pastinya memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Semoga Allah SWT memberkati dan mengurniakan kesihatan yang baik kepada baginda Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail untuk terus menaungi dan memimpin rakyat negeri Perlis yang sungguh bertuah ini di samping MAIPs akan terus berkembang dan membangun membantu ummah di negeri ini,” katanya.

Sempena program tersebut, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan singgah dan menyempurnakan perasmian sebuah projek usahawan yang menerima peruntukan sumbangan sosioekonomi asnaf untuk membeli peralatan dapur bernilai RM800 daripada MAIPs melalui Akademi Transformasi Asnaf MAIPs (ATAM). Baginda juga turut berkenan singgah menyantuni dan menyampaikan sumbangan agihan zakat MAIPs kepada empat buah keluarga asnaf terpilih.

 

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi