Diterbitkan pada 22 Februari 2022, 00:12

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Simpang Empat – “Program Kayuhan MAIPs Peduli yang diketuai oleh Raja Muda Perlis, Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail sangat menyentuh hati kerana baginda tuanku mengenali sendiri setiap individu yang diperintah di negeri ini.”

Demikian menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani selepas menyertai aktiviti berbasikal amal MAIPs Peduli di sekitar Simpang Empat pada petang semalam.

“Semoga Tuanku Raja Muda terus dikurniakan dengan kesihatan oleh Allah SWT dan juga kekuatan fizikal untuk terus menguruskan program murni ini demi kesejahteraan rakyat dan negeri Perlis yang penuh dengan keindahan ini,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Negara, Dato’ Razarudin Husain yang turut serta dalam program tersebut berkongsi bahawa program murni tersebut datangnya daripada hati yang tulus, dan ini merupakan kali pertama beliau menyertai sendiri aktiviti berbasikal untuk mencari, menyantuni dan menyampaikan sumbangan kepada asnaf.

Beliau turut memaklumkan bahawa pasukan polis juga melakukan perkara seumpama ini, tetapi bukan dengan cara berbasikal. Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui kontinjen masing-masing akan memilih ibu tunggal yang suami mereka berkhidmat bawah 15 tahun, tetapi telah meninggal dunia dengan pencen terbitannya yang kecil untuk diberikan sumbangan.

Turut serta dalam program tersebut ialah Ketua Polis Perlis, DCP Datuk Surina Saad dan Ketua Urus Setia KPN (Pentadbiran)) SAC Kamaruzaman Abdullah.

Pada tengah harinya, Ketua Polis Negara dan timbalan beliau mengadakan kunjungan sembah menghadap ke atas Raja Perlis, Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tuanku Syed Sirajuddin di Istana Arau, dan seterusnya mengadakan pertemuan dengan Ketua Polis Negeri serta para pegawai kanan di Ibu pejabat Kontinjen PDRM Perlis di Seriab.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi