Diterbitkan pada 26 Julai 2026, 13:37

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Pulau Pinang – Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat (YAB) Dato’ Seri Anwar Ibrahim menggesa masyarakat agar menyemarakkan fikrah pembaharuan yang dibawakan oleh tokoh ulama dan falak terkemuka Islam, Syeikh Tahir Jalaluddin al-Falaki al-Azhari bagi mendepani cabaran pada masa ini.

Perkara itu ditegaskan beliau semasa menyampaikan ucapan perasmian di Dewan Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq, Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Sheikh Tahir Jalaluddin, Bukit Mertajam, semalam.

Dalam ucapan tersebut, beliau menekankan bahawa usaha mengenang tokoh silam bukanlah sekadar menimbus sejarah, sebaliknya seperti yang diungkapkan pemikir Islam, Roger Garaudy: “Not to bury the ashes of the dead, but to rekindle its flame”, iaitu untuk menyemarakkan semula cahaya ilmu, pengalaman dan pengajaran mereka.

Ketika mengimbas era keunggulan Syeikh Tahir, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim menjelaskan bahawa perjuangan tokoh berkenaan amat sukar sehingga karya beliau di Singapura pernah diharamkan oleh penjajah Inggeris kerana dianggap mencabar pengaruh kuasa asing tersebut.

Menurut beliau, penjajahan pada era tersebut bukan sahaja bersifat fizikal, malah merangkumi penjajahan jiwa dan pemikiran. Oleh itu, pembaharuan yang dibawa oleh Syeikh Tahir bertujuan untuk memerdekakan fikiran dan jiwa masyarakat berteraskan kefahaman Islam yang sebenar, bukannya sekadar perubahan luaran.

Perdana Menteri, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim semasa menyampaikan ucapan perasmian bersempena dengan Majlis Pelancaran SMKA Sheikh Tahir Jalaluddin.

Beliau turut menegaskan bahawa pembaharuan yang berkesan mestilah berpangkal pada kekuatan ilmu dan kebenaran hujah, bukannya amalan mencaci mahupun pelanggaran prinsip akhlak.

Apabila menyebut tentang hala tuju pendidikan negara di bawah Kerajaan MADANI, Perdana Menteri menggariskan pendekatan berasaskan prinsip “menggapai di langit, mengakar ke bumi”. Generasi muda perlu maju ke hadapan dengan menguasai teknologi moden seperti kecerdasan buatan (AI), digitalisasi, pengkomputeran kuantum, serta kepakaran dalam bidang sains, teknologi, kejuruteraan dan matemtik (STEM).

Walau bagaimanapun, beliau menambah bahawa keutamaan terhadap kecanggihan teknologi baharu ini tidak boleh mengetepikan akar budaya, sejarah, pegangan agama, nilai akhlak, serta karamah insaniah (kemuliaan insan).

Selain itu, beliau  turut memperincikan bahawa peruntukan bagi sektor pendidikan kekal menjadi yang tertinggi dalam Belanjawan Negara, di samping peningkatan peruntukan bagi pemerkasaan Islam dan dakwah, termasuk RM1.1 bilion khusus untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

Mengakhiri ucapannya, Perdana Menteri mengingatkan bahawa kehebatan sesebuah institusi pendidikan tidak terletak pada kecanggihan dan keindahan prasarana fizikal semata-mata, sebaliknya bergantung pada penterjemahan nilai, adab dan akhlak para pelajar.

Yang turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah Menteri Pendidikan, Yang Berhormat (YB) Fadhlina Sidek; Ketua Menteri Pulau Pinang, YAB Chow Kon Yeow dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dr. Zulkifli Hasan.

Kredit Foto: Pejabat Perdana Menteri
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi