Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) mengecam tindakan lapan Ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang menggesa pentadbiran negara itu mengambil tindakan terhadap Malaysia.
Hal ini dikatakan demikian kerana menurut Presiden ABIM, Ahmad Fahmi Mohd Samsudin, tindakan itu dinilai sebagai satu bentuk tekanan yang mencabar prinsip kedaulatan negara.
“Tindakan tersebut bukan sahaja menyentuh hubungan dua hala Malaysia-AS, malah dilihat mencabar hak Malaysia sebagai sebuah negara berdaulat untuk menentukan dasar luar, dasar imigresen, dan langkah keselamatan negara tanpa campur tangan mana-mana pihak,” jelasnya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Menurut beliau, pendirian Malaysia terhadap isu Palestin merupakan kesinambungan dasar luar negara yang berteraskan keadilan, penolakan terhadap penjajahan, dan penghormatan terhadap hak sesuatu bangsa untuk menentukan nasib sendiri, bukannya didorong oleh kepentingan politik semasa.
Beliau turut menolak dakwaan yang melabel pendirian Malaysia sebagai antisemitik.
“ABIM menolak dakwaan yang melabel pendirian Malaysia sebagai antisemitik.
“Malaysia tidak pernah memusuhi mana-mana bangsa atau agama, sebaliknya secara konsisten menentang penjajahan, apartheid, genosid serta pelanggaran hak asasi manusia,” tegas Ahmad Fahmi.
Menurut beliau, tanggapan negatif terhadap pengkritik dasar rejim Zionis Israel tidak seharusnya menutup ruang kepada kritikan yang sah terhadap pelanggaran undang-undang antarabangsa.
Dalam kenyataan yang sama, ABIM berpandangan tekanan terhadap Malaysia hanya akan mengalihkan perhatian masyarakat antarabangsa daripada usaha memperjuangkan hak rakyat Palestin pada peringkat global.
Ahmad Fahmi berkata, Malaysia perlu terus kekal sebagai sebuah negara yang bebas menentukan pendiriannya sendiri serta konsisten mempertahankan prinsip keadilan, kedaulatan negara, keluhuran undang-undang dan maruah insan tanpa tunduk kepada tekanan mana-mana kuasa besar.
Sementara itu, pada 22 Julai 2026, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan turut menyifatkan tindakan lapan Ahli Kongres AS yang menggesa Setiausaha Negara AS, Marco Rubio, mengambil tindakan terhadap Malaysia sebagai satu bentuk campur tangan asing yang mencabar kedaulatan negara.
Menurut beliau, surat yang dikemukakan oleh ahli-ahli kongres tersebut berdasarkan tuduhan yang tidak berasas dan tidak wajar dijadikan asas untuk menekan Malaysia.
Beliau berkata, pendirian tegas Perdana Menteri, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Anwar Ibrahim bagi menjunjung dasar luar negara berkaitan dengan Palestin perlu dipertahankan kerana berasaskan prinsip kedaulatan, undang-undang antarabangsa dan nilai kemanusiaan.
YB Senator Dr. Zulkifli turut menegaskan bahawa Malaysia kekal dengan pendirian tidak mengiktiraf Israel dan tidak mempunyai hubungan diplomatik dengan negara itu.
“Malaysia mesti terus berpegang pada dasar luar yang bebas, berkecuali dan berprinsip, selain mengekalkan hubungan baik dengan semua negara berdaulat tanpa mengabaikan tanggungjawab untuk bersuara apabila berlaku pencabulan hak asasi manusia serta pelanggaran undang-undang antarabangsa,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat Malaysia agar terus bersatu mempertahankan maruah, kebebasan dan kedaulatan negara daripada sebarang bentuk ancaman atau campur tangan kuasa asing.
Pada masa sama, beliau menegaskan sokongan padu terhadap kepimpinan Perdana Menteri bagi mempertahankan kepentingan negara serta memperjuangkan nilai-nilai kemanusiaan sejagat pada peringkat antarabangsa.
