Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangRasulullah SAW ditanya tentang puasa hari Asyura, lalu Baginda bersabda, “Puasa hari Asyura, aku berharap kepada Allah agar amalan itu dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.
(Hadis riwayat Muslim, no. 1162)
Hari Asyura mempunyai kedudukan yang istimewa dalam kalendar Islam. Hari yang jatuh pada 10 Muharam ini disunatkan untuk berpuasa padanya, selain merupakan hari yang sarat dengan peristiwa besar dalam sejarah para nabi. Puasa Asyura bukan sekadar amalan tahunan bagi umat Islam, bahkan pensyariatannya berlandaskan dalil daripada sunah Rasulullah SAW serta amalan para sahabat. Baginda sendiri mengangkat keutamaan hari tersebut dengan menggalakkan umat Islam agar berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat keselamatan dan kemenangan yang diberikan kepada para nabi terdahulu.
Oleh itu, kefahaman tentang kedudukan puasa Asyura amat penting supaya umat Islam tidak hanya melihatnya sebagai rutin tahunan, tetapi turut menghayati hikmah di sebaliknya. Pelaksanaan amalan ini mendidik jiwa untuk sentiasa mengingati sejarah keimanan, dan meneladani keteguhan para nabi menghadapi ujian kehidupan.
Sejarah dan Kedudukan Hari Asyura
Hari Asyura dikenali sejak sebelum kedatangan Islam lagi. Amalan berpuasa pada hari tersebut juga telah dilakukan dalam kalangan masyarakat Arab pada zaman jahiliah. Diriwayatkan daripada Aisyah r.a., beliau berkata, “Hari Asyura merupakan hari orang Quraisy berpuasa padanya pada zaman jahiliah, dan Rasulullah SAW juga berpuasa padanya. Apabila Baginda berhijrah ke Madinah, Baginda (terus) berpuasa padanya dan memerintahkan (umat Islam) supaya berpuasa padanya … .” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2002; Muslim, no. 1125). Imam al-Qurtubi (w. 671H) menjelaskan bahawa kemungkinan amalan puasa Asyura diwarisi daripada syariat para nabi terdahulu seperti Nabi Ibrahim a.s.
Diriwayatkan daripada Ibn ‘Abbas r.a., ketika Rasulullah SAW tiba di Madinah, Baginda melihat orang Yahudi berpuasa pada hari Asyura, maka Baginda bertanya: “Hari apakah ini?” Mereka menjawab, “Hari ini ialah hari yang baik. Pada hari ini, Allah menyelamatkan Bani Israel daripada musuh mereka, maka Musa pun berpuasa pada hari tersebut.” Baginda bersabda, “Aku lebih berhak terhadap Musa daripada kamu.” Baginda pun berpuasa pada hari tersebut dan memerintahkan umat Islam supaya turut berpuasa padanya. (Hadis riwayat Muslim, no. 1130). Amalan berkenaan sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat penyelamatan yang dikurniakan kepada Nabi Musa a.s. dan kaumnya.
Dalam beberapa riwayat yang lain, hari Asyura bukan sahaja dikaitkan dengan peristiwa Nabi Musa a.s., bahkan mempunyai hubungan dengan hari kapal Nabi Nuh a.s. berlabuh di Bukit Judi selepas berlakunya banjir besar. Setelah peristiwa itu, Nabi Nuh a.s. berpuasa sebagai tanda kesyukuran kepada Allah SWT atas keselamatan yang dikurniakan kepada baginda dan kaumnya.
Amalan ini menunjukkan bahawa Islam tidak menolak peristiwa yang benar daripada sejarah umat terdahulu, sebaliknya mengiktirafnya dalam bentuk ibadah yang berteraskan tauhid kepada Allah SWT. Secara keseluruhannya, hari Asyura membawa makna sejarah yang mendalam tentang peristiwa Nabi Musa a.s., pengiktirafan Rasulullah SAW, serta kesinambungan nilai syukur dan tauhid dalam kehidupan umat Islam.
Kelebihan Puasa Hari Asyura
Puasa hari Asyura mempunyai kelebihan yang besar di sisi Allah SWT. Pelaksanaannya merupakan antara amalan sunat yang digalakkan oleh Rasulullah SAW berdasarkan hadis daripada Abu Qatadah r.a. bahawa Rasulullah SAW ditanya tentang puasa hari Asyura, lalu Baginda bersabda, “Puasa hari Asyura, aku berharap kepada Allah agar amalan itu dapat menghapuskan dosa setahun yang lalu.” (Hadis riwayat Muslim, no. 1162).
Puasa Asyura mempunyai kedudukan yang istimewa kerana amalan ini menjadi sebab pengampunan dosa yang dilakukan dalam tempoh setahun sebelumnya. Hanya dengan satu amalan yang mudah dan tidak membebankan, seseorang Muslim diberikan peluang untuk diampunkan dosa selama setahun. Hal ini ternyata Islam menitikberatkan aspek rahmat, pengampunan dan dorongan kepada umatnya untuk sentiasa memperbanyak amalan kebaikan.
Selain itu, puasa Asyura menjadi bukti bahawa amalan sunat yang dilakukan dengan keikhlasan memberikan kesan yang besar terhadap pembersihan jiwa dan peningkatan ketakwaan seseorang hamba kepada Allah SWT.
Dalam riwayat lain daripada Ibn ‘Abbas r.a., beliau berkata, “Aku tidak pernah melihat Nabi SAW bersungguh-sungguh untuk berpuasa pada suatu hari yang Baginda lebih utamakan berbanding dengan hari lain melainkan hari ini, (iaitu) hari Asyura, dan bulan ini, yakni bulan Ramadan.” (Hadis riwayat al-Bukhari, no. 2006; Muslim, no. 1132).
Hadis ini menunjukkan bahawa keutamaan hari Asyura di sisi Rasulullah SAW. Baginda memberikan perhatian khusus terhadapnya sebagai tanda pengagungan dan kesyukuran kepada Allah SWT atas nikmat pada hari tersebut. Menurut para ulama, keutamaan ini tidak bermaksud hari Asyura lebih utama daripada bulan Ramadan, tetapi memperlihatkan kesungguhan Baginda menjaga amalan sunat yang mempunyai fadilat besar.
Perbahasan Ulama tentang Makna Penghapusan Dosa Puasa Asyura
Dalam perbahasan tentang kelebihan puasa Asyura, para ulama memperincikan makna penghapusan dosa yang disebut dalam hadis. Ibn Taimiyyah (w. 728H) menegaskan bahawa telah sabit daripada Nabi SAW tentang puasa hari Arafah menghapuskan dosa selama dua tahun, manakala puasa hari Asyura pula menghapuskan dosa selama satu tahun.
Namun begitu, lafaz “menghapuskan dosa” secara mutlak tidak merangkumi dosa besar tanpa taubat. Dalam Mukhtasar al-Fatawa al-Misriyyah, terdapat hadis lain yang mengikat penghapusan dosa dengan syarat menjauhi dosa besar. Antaranya hadis yang memerihalkan perkara ini termasuklah daripada Abu Hurairah r.a. bahawa Rasulullah SAW bersabda, “Solat lima waktu, solat Jumaat hingga Jumaat berikutnya, dan puasa Ramadan hingga Ramadan berikutnya ialah penghapus dosa antara kedua-dua tempoh tersebut selagi dosa besar dijauhi.” (Hadis riwayat Muslim, no. 233). Ibadah seperti solat dan puasa tidak menghapuskan dosa besar secara automatik tanpa taubat, sebaliknya tertakluk kepada syarat tertentu yang ditetapkan oleh syarak.
Pada masa yang sama, Imam al-Nawawi (w. 676H) menerusi karyanya, al-Majmuʻ Sharh al-Muhazzab, menjelaskan bahawa pendapat yang lebih sahih bagi penghapusan dosa tersebut merujuk dosa kecil sahaja. Jika seseorang tidak mempunyai dosa kecil, maka amalan berkenaan akan mengangkat darjatnya di sisi Allah SWT.
Namun begitu, jika terdapat dosa besar, maka dosa itu tidak terhapus melainkan taubat atau rahmat Allah SWT sebagaimana pandangan al-Qadi ‘Iyad (w. 544H). Imam al-Nawawi juga menambah bahawa jika seseorang tidak mempunyai dosa kecil mahupun dosa besar, maka pahala amalannya tetap dicatat sebagai kebaikan dan menjadi sebab peningkatan darjatnya di sisi Allah SWT.
Bersambung …
Penulis merupakan Pensyarah Akademi Pengajian Islam, Pusat Pendidikan Universiti Malaya Bachok, Kelantan.