Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKrisis pelarian pada hakikatnya juga mencerminkan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mencegah peperangan, menghentikan penindasan dan menyediakan penyelesaian yang adil kepada mangsa konflik.
Setiap zaman mempunyai persoalan peradabannya yang tersendiri. Dalam konteks Malaysia pada hari ini, antara persoalan yang sedang menguji kematangan bangsa dan negara termasuklah cara kita menyingkap isu pelarian ketika ketakutan, kemarahan dan prasangka semakin mempengaruhi sebahagian wacana awam.
Dalam beberapa minggu kebelakangan ini, perbincangan tentang pelarian Rohingya telah memperlihatkan sisi terbaik dan sisi paling membimbangkan dalam masyarakat kita. Terdapat golongan yang tampil mempertahankan prinsip kemanusiaan dan keadilan, namun tidak kurang juga individu yang memilih jalan stereotaip, penghinaan, penyahmanusiaan dan seruan yang melangkaui batas undang-undang, serta nilai kemanusiaan.
Keadaan ini menjadikan isu pelarian bukan lagi sekadar persoalan migrasi atau keselamatan, sebaliknya cerminan kepada nilai yang membentuk masyarakat kita. Yang sedang diuji bukan hanya dasar negara, tetapi juga keupayaan kita untuk mempertahankan kewarasan, keadilan dan karamah insaniah ketika berhadapan dengan keresahan dan ketidaktentuan.
Dalam banyak hal, cara kita melayan golongan yang lemah atau mustadʻafin menentukan pendekatan sejarah menilai kita kelak. Hari ini, dunia memerhatikan Malaysia, sama ada akan terus dikenang sebagai sebuah negara yang menjunjung keadilan dan kemanusiaan, atau terperangkap dalam gelombang xenofobia, ketakutan, kebencian dan politik perpecahan yang melanda banyak masyarakat lain.
Antara Realiti Keselamatan dengan Sentimen Kebencian
Pada 20 Jun setiap tahun, dunia memperingati Hari Pelarian Sedunia sebagai tanda kebersamaan kepada jutaan manusia yang terpaksa meninggalkan tanah air akibat daripada peperangan, konflik bersenjata, penindasan, pencabulan hak asasi manusia dan bencana kemanusiaan. Sambutan tersebut pada kali ini membawa tema “Sehingga Semua Selamat” bersempena dengan ulang tahun Konvensyen Geneva Berkaitan dengan Status Pelarian ke-75.
Tema ini mengingatkan masyarakat antarabangsa bahawa keselamatan dan perlindungan manusia bukan hak istimewa yang dinikmati oleh sebahagian pihak sahaja, sebaliknya tanggungjawab bersama seluruh umat manusia. Meskipun begitu, Hari Pelarian Sedunia pada tahun ini hadir dalam suasana yang lebih mencabar daripada tahun sebelumnya. Di Malaysia, perbahasan tentang pelarian, khususnya melibatkan komuniti Rohingya semakin hangat dan kadangkala tegang.
Pada hakikatnya, masyarakat mempunyai hak untuk berasa bimbang. Kebimbangan tentang keselamatan awam, peluang pekerjaan, tekanan terhadap kemudahan sosial, isu dokumentasi, kebersihan persekitaran dan kos kesihatan awam yang dikaitkan dengan kehadiran pelarian merupakan perkara yang wajar dibincangkan secara terbuka. Kebimbangan tersebut tidak boleh dinafikan atau tidak boleh dipandang ringan. Kerajaan mempunyai tanggungjawab untuk memastikan kedaulatan negara terpelihara, undang-undang dihormati dan keselamatan rakyat sentiasa menjadi keutamaan.
Pada masa yang sama, kebimbangan tidak boleh bertukar menjadi kebencian. Keresahan terhadap kelemahan dasar bukan alasan untuk menafikan kemanusiaan seseorang. Perasaan marah akan sesuatu masalah tidak boleh diterjemahkan menjadi kebencian kepada seluruh kelompok manusia yang berada dalam keadaan serba terdesak.
Bahaya Manipulasi Maklumat dan Eksploitasi Politik
Sebahagian daripada ketegangan yang berlaku hari ini juga berpunca daripada penyebaran maklumat yang tidak tepat, separuh benar atau sengaja dimanipulasikan. Dalam dunia digital, kebencian sering bergerak lebih pantas daripada fakta. Naratif yang tidak disemak pada akhirnya diterima sebagai kebenaran. Keadaan berkenaan digambarkan oleh para sarjana sebagai kejahilan yang direka, lalu disebarkan secara sistematik sehingga masyarakat kehilangan keupayaan untuk membezakan antara fakta dengan persepsi dan propaganda.
Hal yang lebih malang lagi apabila isu pelarian mula dijadikan bahan persaingan politik dan eksploitasi sentimen awam. Sejarah di pelbagai negara menunjukkan bahawa ketika masyarakat berhadapan dengan tekanan ekonomi, ketidaktentuan politik atau keresahan sosial, golongan yang lemah dan tidak mempunyai suara politik kerap dijadikan sasaran untuk dipersalahkan.
Malaysia tidak harus terjerumus ke dalam perangkap yang sama. Dalam suasana yang semakin tegang, peranan pemimpin politik, agama, pendidik, media, pempengaruh dan tokoh masyarakat menjadi semakin penting. Mereka seharusnya menjadi jambatan yang merapatkan jurang persefahaman, bukan memperdalam kebencian dan prasangka.
Karamah Insaniah dan Semangat Hijrah bagi Menangani Krisis
Dalam tradisi Islam, para pendakwah dan pemimpin masyarakat dituntut menjadi agen pendamai dan pembela keadilan. Suara yang diperlukan ialah suara yang memandu masyarakat kepada hikmah, keadilan dan ihsan. Perbezaan antara tindakan menangani masalah dan perasaan membenci manusia merupakan hal yang penting. Seseorang yang melakukan kesalahan hendaklah dipertanggungjawabkan menurut undang-undang tanpa mengira kewarganegaraan, etnik atau status mereka. Akan tetapi, tindakan menghukum keseluruhan komuniti atas kesalahan segelintir individu bukanlah suatu keadilan.
Prinsip ini berakar daripada konsep karamah insaniah, iaitu kemuliaan yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada seluruh manusia. Firman Allah SWT yang bermaksud, “Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak Adam … .” (Surah al Isra’ 17:70). Hal ini menjadi lebih signifikan tatkala Hari Pelarian Sedunia pada tahun ini hadir tatkala umat Islam baru memasuki tahun baharu Hijrah 1448. Sejarah Islam sendiri juga bermula dengan kisah manusia yang terpaksa meninggalkan tanah air demi menyelamatkan maruah, akidah dan keselamatan diri. Hijrah merangkumi kisah penderitaan, kehilangan, pengorbanan dan pencarian perlindungan.
Sebelum peristiwa hijrah ke Madinah, sebahagian umat Islam berhijrah ke Habsyah untuk mendapatkan perlindungan daripada Raja Najashi yang beragama Kristian kerana baginda terkenal sebagai seorang pemerintah yang adil. Begitu juga dengan Perjanjian Hilf al-Fudul yang dipuji oleh Rasulullah SAW kerana mempertahankan golongan yang dizalimi, dan menjunjung keadilan merentasi batas kabilah dan kepentingan sempit.
Sudah tentu pengalaman pelarian moden tidak sama dengan peristiwa hijrah Rasulullah SAW. Negara moden mempunyai tanggungjawab yang jauh lebih kompleks dalam penjagaan sempadan, keselamatan dan kepentingan rakyatnya. Walau bagaimanapun, semangat dalam peristiwa hijrah tetap relevan bahawa di sebalik angka statistik dan polemik politik, terdapat manusia yang sedang bergelut untuk meneruskan kehidupan.
Tatkala kita memperingati peristiwa hijrah sebagai titik permulaan bagi pembinaan tamadun Islam yang baharu, kita sewajarnya merenung kepada realiti jutaan manusia di seluruh dunia yang masih hidup dalam keadaan meninggalkan tanah air mereka akibat daripada peperangan, penindasan dan konflik yang tidak berkesudahan. Maal Hijrah mengingatkan kita bahawa tindakan mempertahankan keselamatan negara dan kemuliaan insan bukanlah dua tujuan yang saling bertentangan. Sebaliknya, kedua-duanya perlu bergerak seiring dalam sebuah masyarakat yang beradab.
Sejarah Negara dan Aspirasi Semangat Malaysia MADANI
Malaysia juga tidaklah asing dalam pengalaman mengurus dan membantu pelarian. Dari Pulau Bidong yang menempatkan pelarian Vietnam kepada pelarian Kemboja, masyarakat Cham, komuniti Moro, Bosnia, Syria dan Palestin, sejarah menunjukkan bahawa pendekatan negara terhadap pelarian selama ini dibentuk oleh pertimbangan kemanusiaan, tanggungjawab serantau dan realiti setempat.
Aspirasi untuk hidup bersama secara aman, adil dan bermaruah turut selari dengan semangat Malaysia MADANI yang meletakkan nilai kemanusiaan, ihsan, hormat, kesejahteraan dan tanggungjawab sebagai asas pembinaan negara. Kekuatan sesebuah masyarakat bukan diukur pada kemampuan menghapuskan perbezaan, tetapi pada keupayaan mengurusnya secara adil dan beradab.
Dalam dunia yang semakin dicengkam polarisasi, politik identiti dan penyebaran kebencian melalui media sosial, cabaran sebenar terletak pada usaha membina masyarakat yang mampu hidup bersama secara aman, adil dan bermaruah. Hidup bersama dalam budaya damai menuntut keberanian untuk mengurus perbezaan secara matang, menyelesaikan konflik melalui dialog, serta mempertahankan maruah setiap insan tanpa mengorbankan keselamatan dan kepentingan bersama.
Perkara yang diperlukan ialah sebuah kerangka dasar yang menyeluruh melibatkan perkongsian tanggungjawab serantau, sokongan komuniti antarabangsa, pengurusan yang lebih sistematik serta pelibatan masyarakat setempat. Tidak dapat dinafikan bahawa Malaysia terpaksa menanggung pelbagai kos dan cabaran bagi mengurus kehadiran pelarian. Realiti ini perlu diakui secara jujur. Namun begitu, penyelesaian isu pelarian tidak boleh diletakkan sepenuhnya pada bahu negara transit seperti Malaysia. Krisis pelarian pada hakikatnya juga mencerminkan kegagalan masyarakat antarabangsa untuk mencegah peperangan, menghentikan penindasan dan menyediakan penyelesaian yang adil kepada mangsa konflik.
Tuntasnya, persoalan terbesar yang sedang diuji ialah peranan kita sebagai sebuah masyarakat. Adakah kita akan membiarkan ketakutan membentuk cara kita melihat manusia lain, dan kemarahan mengatasi keadilan? Adakah kita mampu mempertahankan keselamatan negara tanpa mengorbankan nilai kemanusiaan yang menjadi asas sebuah tamadun yang beradab? Ukuran kekuatan sesebuah negara terletak pada keupayaannya mempertahankan nilai yang menjadi asas peradabannya.
Sejarah tidak akan menilai kita berdasarkan layanan kepada golongan yang kuat dan berpengaruh. Sejarah juga akan menilai cara kita bertindak ketika berhadapan dengan golongan yang lemah dan paling mudah untuk dipersalahkan. Dalam dunia yang semakin terbelah oleh ketakutan, kebencian dan politik perpecahan, usaha mempertahankan karamah insaniah dan hidup bersama dalam budaya damai mungkin merupakan antara jihad kemanusiaan yang paling penting pada zaman ini. Kerana “sehingga semua selamat”, kemanusiaan kita sendiri masih diuji.
Penulis merupakan Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Global Peace Mission (GPM) Malaysia.