Diterbitkan pada 20 Jun 2026, 13:57

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Alunan selawat bergema memecah kesunyian malam, menyatukan ribuan suara dalam satu irama kecintaan kepada Rasulullah SAW. Dari segenap penjuru, masyarakat hadir membawa semangat untuk membuka lembaran tahun baharu 1448 Hijrah dengan penuh kesyukuran, kecintaan dan kesetiaan kepada agama, bangsa dan institusi yang menjadi tunjang kestabilan negara.

Di Masjid Bandar Saujana Putra, Jenjarom, Selangor, golongan kanak-kanak, belia, orang dewasa dan warga emas berjumlah kira-kira 5,000 orang memenuhi kawasan masjid sejak petang 17 Jun 2026. Kehadiran mereka bagi merasai pengalaman kebersamaan yang menghubungkan warisan tamadun Melayu, kecintaan kepada Rasulullah SAW, dan penghormatan terhadap institusi kesultanan yang sekian lama menjadi payung negara.

Sebelum tirai malam berlabuh, pelbagai pengisian mewarnai program Malam Berselawat Menjunjung Daulat anjuran Sekretariat Muafakat Jelata Menjunjung Daulat (MJMD). Pameran ilmiah tamadun Melayu, persembahan seni budaya, jualan buku dan produk tempatan, bicara santai, serta pertandingan melukis menjadikan kawasan masjid sebagai medan pertemuan ilmu, budaya dan masyarakat.

Kemuncaknya ialah saat ribuan hadirin berselawat secara berjemaah. Alunan pujian ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW bergema penuh syahdu, mencipta suasana yang menyentuh hati dan mengingatkan umat tentang pentingnya menjadikan Baginda sebagai pedoman dalam mengharungi cabaran zaman.

Seusai solat Isyak, program diteruskan dengan Forum Keindahan Pemerintahan Kesultanan di Alam Melayu yang mengupas peranan institusi raja sebagai teras kesinambungan sejarah, identiti dan kedaulatan negara. Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu Universiti Teknologi MARA (UiTM), Senator Datuk Seri Prof. Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Ketua Eksekutif Akademi Kepemimpinan Tun Perak, Ustaz Muhammad Fauzii Asmuni berperanan sebagai panel, manakala Ustaz Muhammad Hanif Ibrahim @ Angah Sunan sebagai pengerusi.

Antara pokok bicara dalam forum tersebut termasuklah:

  1. Huraian fakta bahawa sistem pemerintahan beraja di Alam Melayu telah berlangsung lebih dua alaf atau dua ribu tahun lalu. Buktinya ialah kewujudan kerajaan Melayu lama seperti Funan, Campa, Langkasuka, Gangga Negara, Kedah Tua dan Sriwijaya.
  2. Apabila Islam sampai di Alam Melayu, wujud pemerintahan dalam bentuk kesultanan seperti Kesultanan Samudera Pasai, Kesultanan Melaka, Kesultanan Kedah, Kesultanan Aceh, Kesultanan Patani, Kesultanan Brunei, Kesultanan Sulu, Kesultanan Banjar, Kesultanan Demak, Kesultanan Johor-Riau-Lingga dan yang lain. Kedudukan dan peranan Islam sebagai agama negara dalam semua kesultanan Melayu itulah yang menjadi asas peruntukan Perkara 3 Perlembagaan Persekutuan, iaitu peruntukan Islam sebagai agama Persekutuan.
  3. Kesultanan Melayu berlangsung sebagai gambaran kesyumulan cara hidup Islam, yang meliputi aspek keagamaan, siasah, ketatanegaraan, undang-undang, ilmu fardu ain dan ilmu fardu kifayah, bahasa dan budaya, serta hubungan antarabangsa. Semua sistem itu dinaungi, malah digerakkan oleh raja atau sultan dengan dukungan para pembesar dan pegawai serta rakyat jelata. Penulisan dan penterjemahan karya ilmu agama dalam bidang akidah, syariah, tasawuf, sirah, qiraah dan yang lain berkembang pesat di bawah naungan sultan-sultan.
  4. Ilmu bidang keagamaan itu dilengkapkan pula dengan penghasilan karya bidang ketatanegaraan, undang-undang, historigrafi, perubatan, astronomi dan juga karya susastera dalam bentuk prosa dan puisi. Karya penting yang mengupas tasawur atau pandangan sarwa Islam dalam epistemologi (teori ilmu) Islam seperti al-‘Aqa’id al-Nasafiyyah dihasilkan daripada usaha penterjemahan. Kitab ketatanegaraan seperti Taj al-Salatin (Mahkota Raja-raja) menjadi asas tatakelola pemerintahan kesultanan Melayu. Kitab undang-undang seperti Hukum Kanun Melaka menjadi landasan kehidupan yang berasaskan prinsip kepatuhan kepada undang-undang (rule of law).
  5. Kekayaan khazanah ilmu dalam pelbagai bidang yang terhasil dalam zaman Kesultanan Melayu terbukti melalui kewujudan puluhan ribu (dianggarkan mencecah 50,000) manuskrip Melayu lama yang tersebar di seluruh dunia, dengan Universiti Leiden menyimpan sekitar 20,000 buah. Tempat lain meliputi British Library dan beberapa buah universiti di United Kingdom, universiti di Jerman, Perancis, Rusia dan di negara Alam Melayu sendiri, iaitu Malaysia, Indonesia, Brunei Darussalam, Singapura dan Thailand Selatan. Di Pusat Kebangsaan Manuskrip Perpustaan Negara Malaysia, terhimpun lebih 5,000 buah manuskrip Melayu lama.
  6. Sistem pemerintahan Raja Berperlembagaan dalam zaman sesudah kemerdekaan pada tahun 1957 ialah kesinambungan pemerintahan beraja yang telah wujud sekian lama itu. Dalam perjanjian pembentukan Persekutuan Tanah Melayu pada tahun 1948, telah ditetapkan pemerintahan negara yang berteraskan sistem Raja Berperlembagaan dan juga ketetapan lain seperti agama Islam sebagai agama Persekutuan, bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan, serta kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera.
  7. Sebagai lanjutan dan realisasi gagasan Persekutuan Tanah Melayu 1948 itu, maka apabila negara mencapai kemerdekaan pada tahun 1957, beberapa peruntukan teras dalam Perlembagaan Persekutuan menunjukkan kesinambungan sistem dan peranan Raja-Raja Melayu, seperti menjaga kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan (Perkara 3); tanggungjawab Raja dalam struktur pemerintahan negara; kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan (Perkara 152); dan keadilan sosial (yang terangkum dalam Perkara 153 tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan bumiputera serta hak sah kaum lain).
  8. Dengan taklif dan peranan Raja-Raja Melayu dalam kerangka pemerintahan negara, maka institusi Raja-Raja Melayu tetap relevan untuk zaman ini dan akan datang sebagai bingkai atau kerangka konsep di negara ini. Program pemasyarakatan maklumat tentang asas kenegaraan, termasuk kedudukan dan peranan Institusi Raja-Raja Melayu, seperti yang digerakkan oleh Sekretariat MJMD perlu dijadikan jerayawara ke seluruh negara agar seluruh rakyat menghayati kerangka pemerintahan negara ini yang bertunjangkan Sistem Raja Berperlembagaan.

Penulis merupakan Ahli Dewan Negara dan Penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu UiTM.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi