Diterbitkan pada 19 Jun 2026, 13:54

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Sayidina ‘Umar al-Khattab r.a. pernah berpesan, ‘Hitunglah dirimu sendiri sebelum kamu dihitung (di hadapan Allah SWT pada hari akhirat nanti).’

Perkataan muhasabah berasal daripada bahasa Arab, iaitu hasaba yang bermaksud menghitung, menilai atau menghisab. Dalam Islam, muhasabah bermaksud menilai, mengkaji dan menghisab diri sendiri secara jujur terhadap segala amalan, perbuatan, perkataan dan niat yang telah dilakukan, dengan tujuan memperbaik diri untuk mendekatkan diri dengan Allah SWT.

Firman Allah SWT:
Maksudnya: “Sesungguhnya kepada Kamilah mereka kembali. Kemudian sesungguhnya (kewajipan) Kamilah membuat perhitungan atas amalan mereka.” (Surah al-Ghasyiah 88:25–26).

Imam al-Ghazali dalam karya agungnya, Ihya’ ‘Ulum al-Din berpesan:

Ketahuilah, seseorang yang berjanji untuk berpegang pada kebenaran pada awal hari, sewajarnya dia juga mempunyai suatu waktu pada akhir hari untuk menuntut, menilai dan menghisab dirinya atas segala gerak-geri perbuatannya.

Oleh itu, perbuatan bermuhasabah penting untuk membolehkan kita:

  • Pertama: Mengenal pasti kelemahan dan kekurangan diri.
  • Kedua: Mensyukuri nikmat yang dikurniakan oleh Allah SWT kepada kita.
  • Ketiga: Memohon keampunan atas kesalahan dan dosa.
  • Keempat: Membaiki akhlak dan amalan.
  • Kelima: Merancang kehidupan yang lebih baik pada masa hadapan.

Muhasabah mendidik seseorang agar sentiasa bertutur dengan dirinya sendiri; supaya kesalahan dan kelalaian semalam tidak diulangi pada hari ini; agar hari ini lebih baik daripada hari semalam; kekurangan ditambah baik, kelemahan diatasi, kesilapan dibetulkan, tahap pencapaian ditingkatkan; serta akan terus berusaha melakukan yang terbaik dan berazam untuk terus cemerlang. Kesedaran seperti ini akan membantu membentuk keperibadian Muslim yang sejati.

Terdapat pelbagai bentuk muhasabah yang boleh dilakukan oleh umat Islam, antaranya termasuklah:

  • Pertama: Muhasabah tentang ibadah dan hubungan dengan Tuhan, merangkumi amalan seperti solat, zikir, puasa, membaca al-Quran, berzakat dan bersedekah.
  • Kedua: Muhasabah tentang akhlak dan sahsiah diri, serta menginsafi sifat mazmumah yang masih menyelubungi diri seperti tamak, sombong, bangga diri, hasad dengki, panas baran, berdendam, memfitnah, mengumpat, mengadu domba, khianat, pemalas dan buruk sangka. Di samping itu, menghiasi diri dengan sifat mahmudah seperti ikhlas, sabar, syukur, pemaaf, pemurah, rendah diri, menghormati orang yang lebih tua, menghubungkan silaturahim, menepati janji, adil, rajin bekerja dan sentiasa bersangka baik antara satu dengan lain.
  • Ketiga: Muhasabah tentang tanggungjawab dan hubungan sesama manusia sama ada dalam keluarga ataupun masyarakat, sebagai ibu bapa ataupun anak, suami ataupun isteri, pemimpin ataupun rakyat biasa, majikan ataupun pekerja, imam ataupun makmum, guru ataupun murid, kawan ataupun lawan, orang kaya ataupun orang miskin, serta orang tua mahupun orang muda.
  • Keempat: Muhasabah berkaitan dengan nasihat dan teguran yang membina daripada pihak lain. Jadilah seorang insan yang sedia mendengar pandangan dan teguran daripada orang lain, lantas memanfaatkan teguran dan nasihat tersebut sebagai pengajaran dalam tindakan. Rasulullah SAW mengingatkan umat Baginda tentang tanggungjawab nasihat-menasihati sesama saudara Muslim. Sabda Baginda:

Maksudnya: “Sesungguhnya agama itu terbina atas dasar nasihat-menasihati. Sahabat bertanya, ‘Untuk siapa?’ Rasulullah menjawab, ‘Untuk Allah, kitab-Nya, rasul-Nya, pemimpin dan umat Islam keseluruhannya.’” (Hadis riwayat Muslim, no. 55).

  • Kelima: Muhasabah yang melibatkan urusan kerja, menyemak, memeriksa dan menilai (melakukan audit) tadbir urus sesebuah pentadbiran secara berkala bagi memastikan tugas dan tanggungjawab dilaksanakan dengan baik, telus dan amanah demi mengelakkan berlakunya ketirisan, penyelewengan, rasuah dan salah guna kuasa.
  • Keenam: Muhasabah yang melibatkan badan seperti masjid, surau, sekolah, persatuan, pertubuhan dan kelab yang berkaitan dengan urusan kewangan. Hal ini demi memastikan wang yang diamanahkan dibelanjakan dengan betul dan telus, serta tidak berlaku ketirisan dan penyelewengan.

Kerja dan tugas melakukan semakan terhadap pengurusan kewangan sesebuah badan tergolong dalam takrif melakukan muhasabah, iaitu usaha untuk mengenal pasti kelemahan, kesilapan dan kesalahan pengurusan kewangan agar pembetulan dan penambahbaikan dapat dilakukan.

Jabatan Audit Negara diberikan tanggungjawab penting sebagai penjaga amanah awam untuk memastikan ketelusan dan sifat bertanggungjawab dipenuhi oleh pelbagai jabatan dan agensi kerajaan. Jabatan Audit Negara melakukan semakan untuk memastikan dana awam diuruskan secara berhemah, berkesan dan bebas daripada penyelewengan.

Audit yang dilakukan secara telus, jujur dan amanah dapat membekalkan maklumat penting untuk membantu usaha pembetulan dan penambahbaikan. Laporan audit yang dibentangkan secara jujur dapat membantu jabatan yang terlibat mengenal pasti kelemahan, lalu tindakan pembetulan boleh diambil.

Pada hakikatnya, audit yang dijalankan secara objektif, telus, jujur dan amanah berperanan sebagai benteng utama pencegahan daripada berlakunya penyelewengan dan ketirisan.

Umat Islam disarankan untuk menjadikan perkara yang berikut sebagai pedoman kehidupan.

  • Pertama: Muhasabah diri merupakan asas penting untuk membina keperibadian Muslim dengan menilai akidah, ibadah, akhlak dan hubungan sesama manusia.
  • Kedua: Muhasabah juga perlu dilakukan di pejabat, serta dalam badan perniagaan dan pertubuhan. Hal ini boleh dilaksanakan melalui semakan dan penilaian berterusan demi memastikan ketelusan dan keberkesanan pengurusan.
  • Ketiga: Muhasabah hendaklah disusuli dengan istiqamah, iaitu berterusan  melakukan perubahan yang baik. Muhasabah mencetuskan kesedaran untuk berubah, manakala istiqamah memupuk dan membina kesungguhan untuk melakukan kebaikan secara berterusan.

Disesuaikan daripada teks khutbah Jumaat, 19 Jun 2026, bertajuk “Muhasabah: Memperbaik Kelemahan – Meningkatkan Amalan Baik”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi