Diterbitkan pada 8 Jun 2026, 14:01

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Masjid Tengku Ampuan Jemaah Bukit Jelutong mencatatkan kehadiran luar biasa apabila lebih 6000 peserta Muslimat menghadiri program tadabur al-Quran bertajuk “Penyembuh Jiwa: Rahsia al-Fatihah” yang berlangsung pada Ahad.

Program tadabur anjuran komuniti dakwah, Tadabbur Sisters itu menampilkan tokoh pendakwah bebas, YBhg. Datuk Dr. Norhafizah Musa sebagai penceramah bagi mengupas inti pati serta mukjizat Surah al-Fatihah.

Dalam sesi perkongsiannya, beliau berkata, setiap wanita Islam perlu sentiasa berusaha meletakkan diri pada kedudukan yang tertinggi, serta menghargai nilai dan potensi diri masing-masing.

Tegas beliau, masyarakat sewajarnya meletakkan fokus untuk menjadi insan yang baik mengikut acuan versi terbaik diri masing-masing.

“Usah sesekali merendahkan nilai martabat diri sendiri, serta terpaku melihat kehebatan dan kelebihan orang lain sehingga mengabaikan hakikat bahawa kita semua merupakan hamba kepada Allah SWT.

“Kita ialah ciptaan Allah SWT yang mulia, dan sama sekali tidak dicipta sebagai makhluk yang gagal,” tegas beliau.

Sesi tadabur yang berlangsung selama dua jam dengan kehadiran peserta berskala besar itu julung-julung kali diadakan menerusi hebahan promosi dalam media sosial.

Terdahulu, majlis ilmu berkenaan dimulakan dengan alunan zikir dan bacaan Surah al-Fatihah sebagai pengisian pembuka tirai.

Penganjuran program ini turut mendapat sokongan padu melalui tajaan khas dan pelibatan strategik daripada pelbagai organisasi serta jenama tempatan seperti Wardah Beauty, Nadi Tenang, Niq & Nab, Tok Hafis, Restoran Senyum Sokmo, Kopi Malam, Mint Cha, Cawan Magis, Lisa Isreena, Brush & Lukis dan Maahad Tahfiz Integrasi Sains Madinatul Huffaz.

Kredit Foto: Masjid Tengku Ampuan Jemaah
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi