Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) menzahirkan rasa kesal yang mendalam terhadap perkembangan naratif kebencian melampau yang dilemparkan terhadap golongan pelarian Rohingya oleh sebahagian pengguna media sosial, mutakhir ini.
Presiden ABIM, Encik Ahmad Fahmi Mohd Samsudin berkata, lebih membimbangkan apabila terdapat kenyataan yang dikesan menghasut orang ramai untuk mengambil tindakan sendiri, termasuk menyebarkan ancaman kekerasan fizikal terhadap individu daripada etnik berkenaan.
Beliau menegaskan, seruan sedemikian bukan sahaja bercanggah dengan prinsip undang-undang dan kemanusiaan, malah bertentangan secara mutlak dengan ajaran Islam yang sentiasa menegakkan keadilan serta memelihara kemuliaan setiap insan.
Walau bagaimanapun, beliau menyatakan bahawa pihaknya memahami sebahagian rakyat mempunyai kebimbangan berkaitan isu keselamatan, tekanan ekonomi, peluang pekerjaan, kebersihan persekitaran serta keharmonian sosial yang dikaitkan dengan kehadiran komuniti pelarian tersebut.
“Kebimbangan ini tidak wajar dipandang ringan atau diketepikan begitu sahaja. Perkara ini perlu ditangani secara serius melalui dasar yang lebih tersusun, berkesan dan berteraskan undang-undang.
“Namun demikian, keresahan yang sah tidak boleh bertukar menjadi kebencian terhadap keseluruhan kelompok manusia. Tindakan hendaklah diambil terhadap mereka yang bersalah tanpa menghukum seluruh komuniti secara kolektif,” jelasnya dalam satu kenyataan, hari ini.
Ahmad Fahmi turut menjelaskan bahawa golongan pelarian, termasuk etnik Rohingya, merupakan kelompok tertindas yang terpaksa menyelamatkan diri daripada penindasan, penganiayaan dan ancaman maut di tanah air mereka.
Menurut beliau, tindakan menyifatkan pelarian sebagai pengecut yang melarikan diri daripada jihad adalah tidak bertepatan dengan kefahaman Islam, memandangkan al-Quran sendiri mengiktiraf hak golongan tertindas untuk berhijrah demi menyelamatkan nyawa dan agama.
Bagi merungkai polemik ini, beliau menggesa pihak kerajaan agar terus memperkukuh pendekatan yang lebih menyeluruh dalam menguruskan isu pelarian, merangkumi aspek keselamatan, pendidikan, kesihatan, perlindungan golongan rentan serta hubungan dengan komuniti setempat.
Langkah pengurusan yang berkesan mestilah mampu melindungi kepentingan, keselamatan awam dan kedaulatan rakyat Malaysia secara tegas, tanpa perlu mengorbankan wajah kemanusiaan, prinsip rahmah dan keadilan yang menjadi asas kepada sebuah negara bertamadun.
Sehubungan dengan itu, Ahmad Fahmi menyeru seluruh lapisan masyarakat agar berlapang dada, menghentikan naratif perkauman melampau, menolak sebarang bentuk seruan kepada keganasan serta bersama-sama membina budaya damai yang berasaskan belas ihsan dan penghormatan terhadap maruah insan.