Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Reruai Pavilion Baitul Hikmah MADANI (PBHM) dalam Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 menjadi platform strategik yang menyemarakkan budaya ilmu, memperkasakan wacana intelektual, serta memposisikan agensi hal ehwal agama sebagai hab penerbitan dan pemikiran Islam yang progresif pada peringkat antarabangsa.
Pelancaran reruai itu disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hassan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, pada Rabu.
Mengambil inspirasi daripada institusi Baitul Hikmah di Baghdad pada abad ke-9 Masihi, menurut beliau, PBHM membawa semangat zaman pemerintahan Harun al-Rashid yang pernah menjadi nadi perkembangan ilmu, pusat penterjemahan agung dan pertemuan para ilmuwan.
“Tema MADANI: Ilmu dan Adab membawa mesej bahawa kemajuan tidak hanya diukur menerusi pencapaian ilmu, tetapi juga melalui ketinggian nilai dan akhlak.
“Ilmu membentuk cara kita berfikir dan bertindak, manakala adab pula membimbing kita memanfaatkan ilmu dengan hikmah dan tanggungjawab,” katanya ketika menyampaikan ucapan perasmian.
Tegas YB Senator Dr. Zulkifli, keseimbangan tersebut menjadi asas dalam pembinaan masyarakat yang berpengetahuan, berintegriti dan berperanan dengan baik dalam kehidupan.
“Di tengah-tengah lambakan maklumat dalam media sosial yang kadangkala mengelirukan, buku tetap menjadi sumber yang paling ampuh untuk kita menyaring kebenaran.
“Dalam keadaan dunia hari ini lebih mudah terpesona akan kecanggihan peranti digital, lena diulit hiburan hedonistik, leka dengan rembesan hormon dopamin melalui tatalan dalam media sosial, kita perlu mengusahakan kembali agar masyarakat mampu mencari keseronokan melalui budaya membaca,” ujarnya.
Pada masa yang sama, beliau menyambut baik inisiatif penganjur PBAKL pada tahun ini yang mengetengahkan buku pilihan para pemimpin negara menerusi Galeri Buku Pilihan Pemimpin MADANI.
Majlis tersebut turut menyaksikan pelancaran sebanyak 27 buah buku baharu yang diterbitkan pada tahun ini oleh Yayasan Waqaf Malaysia, Jabatan Wakaf, Zakat, dan Haji, TV AlHijrah, Institut Kefahaman Islam Malaysia, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Mufti Wilayah Persekutuan.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Puan Marhamah Rosli; Yang Dipertua YADIM, YBhg. Datuk Dr. Hasan Bahrom; Ketua Pengarah JAKIM, YBhg. Dato’ Dr. Sirajuddin Suhaimee; Mufti Wilayah Persekutuan, Sahibus Samahah Tuan Ahmad Fauwaz Fadzil; dan Penasihat Jawatankuasa Pengelola PBAKL, YBrs. Encik Mohd. Khair Ngadiron.