Diterbitkan pada 20 Mei 2026, 21:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Pelibatan Penyelaras Siswazah bersama-sama dengan pensyarah dan pelajar pascasiswazah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dalam Program Suara dari Anjung: Dewan Tamadun Islam berjaya memperkukuh kefahaman ilmu tasawuf sebagai benteng kerohanian bagi mendepani cabaran masyarakat moden.

Program tersebut yang berlangsung di Sudut Karyawan [Stor Teater Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP)], Wisma DBP pada 19 Mei 2026 menampilkan YBhg. Prof. Dato’ Dr. Muhammad Ayman al-Akiti dan YBrs. Dr. Muhammad Yusry Mazlan menerusi perbincangan bertajuk “Tasawuf: Gerbang Kerohanian dalam Pembangunan Ketamadunan Umat” yang menekankan peranan tasawuf sebagai pemacu pembangunan modal insan dan kesejahteraan spiritual.

Menurut Timbalan Pengerusi Persatuan Pascasiswazah Pengajian Quran dan Sunnah (QUSPA) FPQS USIM, Mohd Naim Fikri Norazmi, kupasan tentang konsep mujahadah dan muraqabah menyumbang secara signifikan dalam pembentukan daya tahan mental serta disiplin yang tinggi dalam kalangan pelajar pascasiswazah.

“Elemen kerohanian ini bertindak sebagai kekuatan dalaman yang amat diperlukan oleh pelajar pascasiswazah untuk mendepani tekanan sepanjang proses penyelidikan, penghasilan penulisan ilmiah dan penulisan tesis akademik,” katanya.

Pensyarah dan pelajar pascasiswazah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama-sama dengan Editor Dewan Tamadun Islam setelah menghadiri Program Suara dari Anjung: Dewan Tamadun Islam di Sudut Karyawan (Stor Teater DBP), Wisma DBP pada 19 Mei 2026.

Sementara itu, Pegawai Perkhidmatan Pendidikan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Puan Noraini Taha berpendapat program tersebut berjaya membina ketahanan kritikal peserta bagi memahami isu yang berkaitan dengan ilmu tasawuf secara lebih tepat dan berfakta.

Beliau yang juga pelajar pascasiswazah FPQS berkata, “Kefahaman mengenai ilmu tasawuf yang tepat secara tidak langsung menawarkan solusi kepada kepincangan sosial dan isu kesihatan mental yang sering melanda golongan muda hari ini.”

Menurutnya lagi, tekanan jiwa dan kekosongan hati berpunca daripada ketiadaan pasak ilmu tasawuf, manakala pengisian kerohanian yang diterapkan mampu menjadi penawar yang ampuh untuk mengembalikan kesejahteraan emosi dan spiritual masyarakat.

“Pendedahan ini memotivasikan saya untuk sentiasa mendampingi al-Quran dan meningkatkan kualiti ibadah berteraskan sifat ihsan.

“Prinsip ini amat penting bagi membantu saya mengimbangi komitmen dwiperanan sebagai seorang penjawat awam dan pelajar pascasiswazah,” ujarnya.

Wacana ilmu tersebut turut menekankan disiplin takhalli, tahalli dan tajalli sebagai pendekatan sistematik bagi meluruskan salah faham masyarakat terhadap tasawuf yang sering dikaitkan dengan unsur mistik dan bidaah.

Program tersebut disertai oleh lebih 750 orang peserta secara fizikal dan dalam talian yang terdiri daripada Pengurusan Tertinggi DBP, mahasiswa institusi pengajian tinggi, pensyarah, penyelidik, wakil agensi kerajaan, serta pencinta ilmu tasawuf.


Penulis merupakan Penyelaras Siswazah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah, Universiti Sains Islam Malaysia.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi