Diterbitkan pada 16 Mei 2026, 09:10

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi Bahagian Penyelidikan menganjurkan Seminar Kesedaran Halal 2026 khusus kepada pengusaha kantin sekolah daripada Sekolah Rendah Agama (SRA) dan Sekolah Integrasi Rendah Agama JAWI (SIRAJ) di bawah seliaan jabatan tersebut.

Menurut JAWI, penganjuran seminar yang berlangsung pada 14 Mei 2026 di Dewan Muslimat, Masjid Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur itu bertujuan untuk memperkukuh kefahaman pengusaha kantin terhadap konsep halal lagi baik (tayyib) menurut perspektif Islam.

“Seminar ini juga memberikan pendedahan kepada pengusaha kantin terhadap kepentingan pendidikan pengendalian bahan mentah dan makanan dengan cara yang betul serta memenuhi standard kualiti makanan di bawah piawaian Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” kata JAWI menerusi hantaran dalam media sosial.

Seminar tersebut menghimpunkan pengusaha kantin sekolah bagi mengikuti beberapa slot perkongsian ilmu berkaitan dengan aspek halal, kebersihan dan keselamatan makanan bagi memastikan penyediaan makanan kepada murid mematuhi piawaian yang ditetapkan.

Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penyelidikan JAWI, Puan Kartini Ahmad dalam ucapannya berharap agar segala ilmu dan pendedahan yang diperoleh sepanjang seminar dapat dipraktikkan sepenuhnya dalam pengurusan kantin sekolah masing-masing.

“Usaha memperkukuh kesedaran halal dan aspek keselamatan makanan perlu dipandang serius bagi memastikan murid menerima makanan yang bersih, selamat dan berkualiti selaras dengan tuntutan Islam,” ujarnya.

Slot pertama seminar bertajuk “Memahami Konsep Halalan Tayyiban” disampaikan oleh Penolong Pengarah Kanan dari Cawangan Strategik dan Luar Negara, Seksyen Kualiti dan Pematuhan Standard, Bahagian Pengurusan Halal JAKIM, Puan Ahlami Abdullah Akhili.

Dalam pembentangannya, beliau menjelaskan kepentingan memahami konsep halal dan tayyib secara menyeluruh, bukan sahaja dari sudut pemilihan bahan makanan, malah melibatkan aspek kebersihan, keselamatan, serta kualiti makanan yang disediakan kepada pengguna.

Slot kedua pula disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah dari Cawangan Pematuhan Domestik, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Puan Ts. Nurul Huda Aziz menerusi tajuk “Pematuhan Peraturan-peraturan Kebersihan Makanan 2009 (PPKM)”.

Beliau menekankan kepentingan pematuhan terhadap prosedur kebersihan makanan oleh pengusaha kantin bagi mengelakkan risiko pencemaran makanan serta menjamin kesihatan murid sekolah.

Slot ketiga bertajuk “Pengiktirafan Bersih dan Selamat (BeSS)” disampaikan oleh Ketua Penolong Pengarah dari Cawangan Pre-Market Approval, Program Keselamatan dan Kualiti Makanan KKM, Puan Nuraini Ghaifullah.

Perkongsian tersebut memberikan pendedahan kepada peserta tentang kepentingan pengiktirafan BeSS sebagai salah satu inisiatif bagi mempertingkatkan tahap kebersihan premis makanan dan keyakinan pengguna terhadap pengurusan kantin sekolah.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi