Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangTanjong Malim – Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) terus memperkukuh agenda wakaf pendidikan menerusi pembangunan Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan).
Naib Canselornya, YBhg. Profesor Datuk Dr. Md Amin Md Taff berkata, pembangunan institut berkenaan merupakan simbol komitmen pihak universiti untuk memperkasakan pendidikan Islam secara menyeluruh melalui sinergi wakaf, penyelidikan dan kerjasama strategik bersama-sama dengan sektor korporat.
Menurut beliau, projek yang dibiayai sepenuhnya melalui dana wakaf dengan Yayasan Rafulin tampil sebagai pewakaf utama itu menjadi kesinambungan visi dan perjuangan Naib Canselor UPSI kelima, Allahyarham Profesor Datuk Dr. Zakaria Kasa yang memperjuangkan integrasi ilmu wahyu dengan akademik di negara ini.
“Institut ini akan menjadi pusat kecemerlangan ilmu yang menggabungkan tradisi turath Islam dengan penyelidikan akademik moden pada peringkat dunia,” ujarnya.
Beliau berkata, UPSI komited menjadikan i-Furqan sebagai pusat rujukan utama dalam bidang tahfiz dan turath Islam yang mampu melahirkan generasi ilmuwan Islam berdaya saing pada peringkat antarabangsa.
“Pembinaannya bukan sekadar sebuah bangunan, tetapi lambang usaha UPSI membina ekosistem pendidikan yang mampan serta berteraskan nilai ilmu, wakaf dan pembangunan insan,” katanya ketika berucap dalam Majlis Peletakan Kubah Institut Pendidikan Tahfiz dan Turath Islami (i-Furqan) di Kampus Sultan Azlan Shah (KSAS) pada Jumaat.
Majlis tersebut disempurnakan oleh Pengarah Urusan Yayasan Rafulin, YBhg. Datuk Mohamed Raffe Chekku.
Yang turut hadir sama ialah Mufti Selangor, Sahibus Samahah YBhg. Dato’ Setia Dr. Haji Anhar Opir; Pengurus Besar Bahagian Wakaf Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak, Puan Norfazilah Bawadi serta wakil Pejabat Agama Islam Daerah Muallim.
Sementara itu, Pengarah Pusat Wakaf, Endowmen, Zakat, Sedekah dan Khairat (WEZAS) UPSI, YBrs. Profesor Madya Dr. Mohd Abdul Nasir Abd Latif berkata, pemasangan kubah utama institut tersebut menampilkan konsep seni bina Islam kontemporari dengan sentuhan eksklusif Rafulin Signature.
Beliau menjelaskan bahawa kubah berdiameter lima meter itu menggunakan kemasan tembaga teroksida premium dari Jerman, iaitu material sama yang digunakan dalam pembinaan Masjid Raja Lumu.
“Struktur kubah ini mempunyai berat kira-kira 600 kilogram dengan ketinggian 2.2 meter dan diperkukuh melalui tiga lapisan utama yang terdiri daripada aluminium, lapisan kalis air dan tembaga bagi memastikan ketahanan serta nilai estetika yang tinggi.
“Bahagian pinnacle berwarna emas setinggi 1.6 meter pula melengkapkan keseluruhan struktur, sekali gus menyerlahkan elemen kemegahan seni bina Islam moden di bumi Muallim,” katanya.
Pembangunan i-Furqan yang ditadbir urus oleh Pusat WEZAS dijangka siap dan bakal mula beroperasi pada awal tahun 2027.
Inisiatif berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan UPSI untuk memperkasakan wakaf pendidikan serta memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan utama ilmu tahfiz dan turath Islam yang unggul pada peringkat global.
