Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangMakkah – Seorang jemaah haji Malaysia meninggal dunia selepas rebah di dataran Masjidilharam ketika hendak menunaikan solat Jumaat.
Menurut Ketua Rombongan Haji Malaysia, Mohd Hisham Harun, jemaah lelaki berusia 65 tahun dari Pahang itu disahkan meninggal dunia pada kira-kira pukul 12.15 tengah hari waktu tempatan (5.15 petang waktu Malaysia) akibat daripada komplikasi jantung.
Beliau berkata, Allahyarham yang tiba di tanah suci bersama-sama dengan isterinya berada di kawasan dataran Masjidilharam sebelum tiba-tiba rebah dan tidak sedarkan diri.
Ujar beliau, terdahulu, rawatan kecemasan segera diberikan di lokasi kejadian sebelum Allahyarham dihantar ke Hospital Jiwar Jabal Omar untuk mendapatkan rawatan lanjut.
“Rawatan awal termasuk bantuan pernafasan diberikan di lokasi kejadian sebelum beliau dibawa ke Hospital Jiwar Jabal Omar untuk rawatan lanjut.
“Walau bagaimanapun, jemaah berkenaan disahkan meninggal dunia di pusat rawatan tersebut,” katanya.
Mengulas lanjut, Mohd Hisham berkata, semua urusan berkaitan dengan jenazah Allahyarham dikendalikan sepenuhnya oleh Tabung Haji (TH).
Jenazah Allahyarham kemudiannya dibawa ke Masjidilharam untuk disolatkan selepas solat Maghrib sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Al Sharayea.
Jelas beliau, petugas unit kebajikan, kaunselor dan pembimbing ibadat haji turut hadir menziarahi isteri Allahyarham bagi memberikan sokongan moral dan bantuan yang diperlukan.
Pada masa yang sama, TH juga akan melaksanakan badal haji bagi pihak Allahyarham, serta menganjurkan majlis bacaan tahlil bersama-sama dengan jemaah haji lain sebagai tanda penghormatan.
Kematian jemaah berkenaan merupakan antara kes yang dilaporkan dalam musim haji tahun ini.
Pihak TH mengingatkan semua jemaah agar sentiasa memantau tahap kesihatan masing-masing, mendapatkan rehat yang secukupnya, kekal terhidrat dan segera mendapatkan bantuan perubatan sekiranya berasa tidak sihat memandangkan suhu di Makkah yang tinggi ketika ini.