Diterbitkan pada 1 Mei 2026, 14:09

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Hari Pekerja disambut pada 1 Mei setiap tahun, berakar umbi daripada perjuangan gerakan pekerja pada abad ke-19 di Amerika Syarikat untuk menuntut waktu kerja lapan jam sehari, yang memuncak dengan mogok pada 1 Mei 1886.

Hari Pekerja memperingati perpaduan pekerja sedunia. Di Malaysia, kerajaan memberikan pengiktirafan kepada para pekerja dengan mengisytiharkan cuti umum pada 1 Mei sejak tahun 1972.

Firman Allah SWT:

Maksudnya: “Seorang daripada kedua-dua perempuan itu berkata, ‘Wahai ayahku, jadikanlah dia (Musa a.s.) sebagai pekerja (kita), sesungguhnya orang yang paling baik yang ayah ambil sebagai pekerja ialah orang yang kuat lagi amanah.’” (Surah al-Qasas 28:26).

Bekerja, iaitu mencari rezeki untuk menyara kehidupan bagi maksud mencapai kesempurnaan dan kesejahteraan hidup merupakan ikhtiar yang dituntut oleh agama bagi setiap mukmin. Islam mengiktiraf pekerjaan sebagai ibadah jika dilakukan dengan niat mengharapkan keredaan Ilahi, sekali gus kerja dilakukan demi menyempurnakan amanah dan menunaikan tanggungjawab seperti yang terkandung dalam ayat 26 Surah al-Qasas.

Rasulullah SAW menjanjikan kelebihan besar yang disediakan buat mukmin yang rajin bekerja semata-mata ingin menyempurnakan amanah selaras dengan sabda Baginda:

Maksudnya: “Barang siapa mencari rezeki halal untuk menjaga diri daripada meminta-minta, menanggung kehidupan keluarganya, serta dapat membantu tetangganya, nescaya dia akan datang pada hari kiamat dengan wajahnya yang berseri-seri seperti bulan purnama.” (Hadis riwayat al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin, no. 3465).

Islam memandang mulia kepada setiap pekerjaan yang halal dan tidak melanggar syarak; pekerjaan yang membawa kepada kebaikan; serta memberikan keselesaan kepada kehidupan alam. Pekerjaan yang paling baik ialah usaha seseorang dengan tangannya sendiri, serta menjauhi perkara yang haram dan syubhah.

Bekerja bukan sekadar mencari nafkah, tetapi merupakan suatu bentuk ibadah dan ladang pahala. Islam menekankan amalan bekerja untuk menanggung diri dan keluarga merupakan satu daripada tuntutan agama, bahkan dianggap jihad fisabilillah. Islam tidak melihat kemuliaan seseorang pada jenis pekerjaan, sebaliknya pada kejujuran ketika  melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan.

Sewaktu memenuhi tanggungjawab yang diamanahkan, para pekerja diuji dengan pelbagai dugaan dan cabaran. Namun begitu, sebagai orang yang beriman, kita wajib bersabar dan terus berusaha. Firman Allah SWT:

Maksudnya: “… dan Kami menguji kamu dengan kesusahan dan kesenangan sebagai ujian … .” (Surah al-Anbiya’ 21:35).

Dalam menghadapi dugaan dan cabaran, setiap pekerja mukmin akan memandang kerja sebagai ibadah; memenuhi tuntutan menyempurnakan tugas fardu kifayah demi mendapat keredaan Ilahi.

Lapan sifat utama pekerja yang mukmin ialah:

  • Pertama: Beramanah dan berintegriti; melaksanakan tugas dengan ikhlas, jujur dan bertanggungjawab tanpa perlu diawasi; serta menginsafi segala sumber kewangan, peralatan dan harta di tempat kerja perlu diuruskan dengan penuh amanah melalui amalan berjimat cermat, tidak membazir dan berbelanja secara berhemah. Tidak melakukan rasuah, malah tidak menyalahgunakan jawatan dan kuasa untuk kepentingan peribadi, keluarga dan kroni, serta tidak melakukan pecah amanah.
  • Kedua: Itqan; melaksanakan tugas dengan khusyuk, tekun dan bersungguh-sungguh sehingga berjaya menghasilkan kerja yang bermutu.
  • Ketiga: Proaktif dan berinisiatif; senantiasa bergerak cergas, juga merintis daya usaha mencari ruang untuk meningkatkan mutu kerja dan hasil kerja tanpa menantikan arahan.
  • Keempat: Berakhlak mulia; mengamalkan etika kerja yang bersopan lagi tertib, di samping menjaga hubungan baik dengan rakan sekerja, orang atasan dan bawahan, serta majikan dan pelanggan yang memerlukan perkhidmatannya.
  • Kelima: Disiplin menjaga masa, menepati waktu bekerja, serta menunaikan janji dan memenuhi kontrak.
  • Keenam: Gigih dan berdedikasi; tidak mudah berputus asa, memberikan tumpuan serta mengabdikan diri sepenuhnya untuk menyelesaikan tanggungjawab yang ditugaskan dan masalah yang dihadapi.
  • Ketujuh: Bersifat profesional; dengan ikhtiar berterusan menguasai dan menambah ilmu, pengetahuan, pengalaman, kemahiran dan kepakaran dalam bidang yang ditugaskan, serta berusaha seboleh-bolehnya untuk tidak melakukan kesilapan.
  • Kelapan: Kerja ditafsirkan sebagai ibadah dan jihad yang disempurnakan bersama-sama pewujudan iman, bertawakal dan berniat dilakukan semata-mata kerana Allah SWT, ibarat burung yang keluar pagi mencari rezeki dan pulang pada waktu petang. Setiap usaha yang dirintis dilengkapi doa memohon petunjuk, panduan dan pertolongan Ilahi; senantiasa pula melafazkan kalimah kesyukuran dan berterima kasih kepada Allah SWT atas setiap nikmat kejayaan.

Pekerja mukmin wajib mempamerkan budaya kerja cemerlang. Semoga diterima oleh Allah SWT sebagai amal makruf yang mendapat nikmat keberkatan ketika di dunia, serta dilimpahi ganjaran pahala sebagai bekalan akhirat.

Pekerja mukmin wajib mengamalkan sifat kesetiaan kepada majikan dan semangat setia kawan, serta saling membantu sesama rakan sekerja. Pekerja mukmin hendaklah memiliki keteguhan iman dan keberanian menegakkan yang makruf dan mencegah yang mungkar semasa memenuhi amanah dan menyempurnakan tanggungjawab di tempat kerja.

Diharapkan seluruh warga kerja dapat terus menabur bakti, berkhidmat untuk agama bangsa dan negara. Didoakan semua warga kerja dikurniakan kekuatan dan kesihatan, berjaya memenuhi amanah, serta menyempurnakan tanggungjawab dengan tekun dan bersungguh.


Disesuaikan daripada khutbah Jumaat, 1 Mei 2026, bertajuk “Sifat-sifat Pekerja Mukmin”.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi