Syaza Wardina .
Diterbitkan pada 21 Mac 2026, 21:50

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Mata Ayer – Raja Muda Perlis, DYTM Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail berkenan berangkat melawat dan menziarahi mangsa kebakaran yang berlaku di Jalan Sekolah Kebangsaan Oran, Mata Ayer, petang semalam.

Dalam kunjungan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra berkenan menyempurnakan penyerahan sumbangan daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bagi meringankan beban mangsa.

“Dalam kejadian tersebut, sebuah kediaman milik mangsa, Ramli Jaya yang beralamat di No. 3, Jalan Sekolah Kebangsaan Oran, Mata Ayer, dilaporkan terjejas akibat daripada kebakaran yang berlaku,” kata MAIPs.

“Tuanku Raja Muda turut menyampaikan titah salam takziah daripada Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail dan menyerahkan kiriman sumbangan peribadi daripada Tuanku Raja kepada Ramli,” kata MAIPs.

Tambah MAIPs, “Tuanku Syed Faizuddin Putra juga menzahirkan perasaan dukacita atas kejadian yang berlaku serta menzahirkan harapan agar mangsa terus tabah menghadapi dugaan ini, apatah lagi dengan menjelangnya 1 Syawal pada keesokan harinya.”

Mengiringi baginda ialah Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi