Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangSetiap kali menjelang Ramadan, Syawal atau Zulhijah, persoalan lama kembali menjadi bualan masyarakat Islam, iaitu tentang bilakah sebenarnya bermulanya bulan baharu Hijrah?
Persoalan ini kelihatan mudah pada zahirnya, namun di sebaliknya terkandung dimensi hukum, astronomi, tradisi keilmuan dan pengurusan kehidupan beragama yang cukup luas.
Dalam era media sosial, perbahasan tentang rukyah, hisab dan perbezaan tarikh sering menjadi polemik awam, seolah-olah isu ini baru muncul dalam dunia Islam. Pada hakikatnya, amalan menentukan permulaan bulan Hijrah bukanlah perkara baharu. Sebaliknya, amalan ini merupakan tradisi ilmu dan ibadah yang telah berakar sejak zaman awal Islam lagi.
Penentuan awal bulan Hijrah berkait secara langsung dengan kehidupan beragama umat Islam. Puasa Ramadan, Hari Raya Aidilfitri, Hari Raya Aidiladha, tarikh wukuf di Arafah, zakat fitrah, puasa sunat, tempoh idah, kifarat dan pelbagai lagi urusan syarak bergantung pada ketepatan takwim Hijrah. Oleh sebab itu, sejak dahulu lagi umat Islam memberikan perhatian yang besar terhadap kaedah penetapan awal bulan.
Apabila tamadun Islam berkembang, umat Islam tidak berhenti pada tahap amalan asas semata-mata. Ilmuwan Islam mengembangkan ilmu falak, matematik, geometri dan astronomi bagi memahami pergerakan cakerawala secara lebih teratur. Maka itu, lahirlah tradisi hisab sebagai suatu kaedah pengiraan yang membantu menentukan kedudukan bulan, matahari dan kemungkinan terlihatnya hilal.
Oleh itu, apabila masyarakat pada hari ini berdebat tentang kaedah terbaik menentukan awal Ramadan atau Syawal, mereka sebenarnya sedang menyentuh sebuah wacana yang telah dibincangkan berabad-abad lamanya. Dalam erti kata lain, keadaan ini menjadi tanda bahawa umat Islam sentiasa berusaha menyesuaikan kefahaman agama dengan realiti, kemajuan ilmu dan keperluan semasa.
Islam Tidak Menolak Sains
Antara salah faham yang kerap timbul termasuklah tanggapan bahawa penggunaan hisab atau pengiraan astronomi bercanggah dengan ajaran agama. Tanggapan ini perlu dibetulkan secara cermat. Islam tidak pernah mengajar penganutnya supaya memusuhi sains. Sebaliknya, al-Quran berkali-kali mengajak manusia memerhatikan langit, matahari, bulan, siang dan malam sebagai tanda kebesaran Allah SWT.
Perkembangan ilmu falak dalam tamadun Islam menjadi bukti nyata bahawa umat Islam pernah menjadi pelopor dalam pemerhatian cakerawala. Balai cerap dibina, jadual astronomi disusun, dan pengiraan diperhalus bukan untuk tujuan duniawi semata-mata, tetapi bagi memudahkan penentuan waktu solat, arah kiblat dan takwim ibadah. Dalam hal ini, penggunaan sains bukan sesuatu yang asing daripada agama, malah merupakan lanjutan daripada amanah akal yang dikurniakan oleh Allah SWT.
Dalam konteks Malaysia dan banyak negara Islam lain, pendekatan yang digunakan bukanlah memilih secara mutlak antara rukyah dengan hisab, tetapi menggabungkan kedua-duanya secara bersepadu.
Pendekatan ini menzahirkan kebijaksanaan fiqh dan kematangan institusi agama. Cerapan tetap dilaksanakan, manakala hisab membantu menyediakan jangkaan yang lebih teliti tentang kemungkinan kenampakan hilal. Oleh itu, keputusan yang dibuat tidak lahir secara sembarangan, tetapi berasaskan disiplin ilmu yang tersusun.
Adab Beragama di Sebalik Polemik
Walaupun isu awal bulan Hijrah sering dibicarakan dari sudut teknikal, umat Islam tidak wajar melupakan sisi rohaninya. Penentuan awal bulan bukan sekadar soal tarikh pada kalendar, bahkan penanda masuknya musim ibadah, pintu muhasabah dan saat memperbaharu hubungan dengan Allah SWT.
Apabila diumumkan kedatangan Ramadan, perkara yang seharusnya berkembang dalam jiwa orang beriman bukanlah keinginan untuk memenangkan hujah sendiri, sebaliknya perasaan syukur kerana dipertemukan dengan bulan tarbiah. Apabila diumumkan ketibaan Syawal pula, yang wajar dipelihara bukanlah semangat mempertikaikan pihak lain, tetapi kesyukuran setelah menamatkan madrasah puasa. Demikian juga apabila tibanya Zulhijah, tumpuan sewajarnya diberikan kepada penghayatan nilai pengorbanan, laungan takbir, doa serta semangat solidariti umat Islam di seluruh dunia.
Polemik tentang hilal perlu diimbangi dengan adab beragama. Adab ini meliputi sikap tawaduk terhadap ilmu, menghormati autoriti, tidak memperlekehkan pandangan yang berbeza daripada pandangan masing-masing, dan tidak menjadikan isu khilafiah sebagai bahan pertelingkahan yang merosakkan ukhuwah.
Dalam dunia digital hari ini, banyak orang mudah berkongsi maklumat tanpa memahami kerangka fiqh dan disiplin falak yang sebenar. Hal ini menyebabkan timbul kekeliruan dalam masyarakat, malah ada yang lebih mempercayai media sosial berbanding dengan pengumuman rasmi.
Dalam urusan ibadah berjemaah yang melibatkan seluruh negara, keteraturan dan penyatuan amat penting. Tidak semua perkara wajar diputuskan secara individu kerana sebahagiannya memerlukan kesepakatan demi maslahah umum. Penetapan awal bulan bagi ibadah awam menuntut penerimaan keputusan kolektif bagi mengelakkan kecelaruan.
Kesatuan Ummah sebagai Keutamaan
Dalam apa-apa juga isu, prinsip besar yang mesti dipelihara ialah kesatuan ummah. Kesatuan tidak bermaksud semua orang mesti berfikir dengan cara yang serupa dalam setiap perincian. Sebaliknya, kesatuan bermaksud umat Islam tahu menilai antara perbezaan yang dibenarkan dengan perpecahan yang dilarang dalam agama.
Dalam isu penentuan awal bulan, mungkin terdapat variasi pendekatan antara negara atau wilayah berdasarkan autoriti, latitud geografi, kriteria kenampakan dan tradisi fiqh yang diamalkan. Namun begitu, pada peringkat masyarakat awam, semangat yang perlu dipupuk adalah dengan menghormati keputusan pihak berkuasa agama yang sah di tempat masing-masing. Sikap ini lebih dekat kepada maslahat, lebih menenangkan masyarakat, dan lebih membantu memelihara keharmonian ibadah berjemaah.
Oleh itu, apabila berlaku perbezaan pandangan, jalan terbaik adalah dengan kembali kepada ilmu, adab dan institusi. Dengar penjelasan ahli falak, fahami pertimbangan fuqaha, hormati keputusan ulil amri, dan sibukkan diri dengan ibadah yang membawa ketenangan jiwa. Hal ini memperlihatkan kematangan umat bukan pada kemampuan memanjangkan polemik, tetapi pada kebijaksanaan mengurus perbezaan.
Polemik penentuan awal bulan Hijrah perlu ditangani dengan dua neraca serentak, iaitu ilmu dan hikmah.
Ilmu menuntut kita memahami sejarah panjang amalan ini; menyedari bahawa perbahasan rukyah dan hisab bukan perkara baharu; serta mengakui bahawa Islam sememangnya menghargai sains sebagai alat memahami tanda kebesaran Allah SWT. Hikmah pula menuntut kita menjaga adab; menumpukan perhatian kepada ibadah; serta memelihara kesatuan ummah daripada retak oleh pertengkaran yang tidak berkesudahan.
Anak bulan yang halus itu sering kali sukar dilihat dengan mata kasar. Namun demikian, perkara yang lebih sukar lagi adalah untuk memelihara kejernihan hati ketika berhadapan dengan perbezaan. Oleh sebab itu, setiap kali umat Islam menantikan kemunculan hilal, mereka bukan sahaja perlu mengangkat mata ke langit, bahkan menundukkan hati kepada Allah SWT.
Dengan ilmu, kita memahami. Dengan doa, kita merendah diri. Dengan ibadah, kita mendekat. Dengan kesatuan, kita memuliakan agama.