Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangBandar Baru Bangi – Buat julung-julung kalinya, Waqaf FELDA menyantuni sebanyak 45 orang kanak-kanak yang menjalani rawatan kanser dalam program Iftar Ramadan Kasih Kumpulan Ibu Bapa dan Sokongan Anak-Anak Kanser (KIDS).
Program yang berlangsung di Hotel Tenera pada Selasa dengan kerjasama PUSPANITA Cawangan Kecil FELDA dan Yayasan FELDA itu menzahirkan komitmen berterusan pihaknya dalam usaha menyalurkan manfaat wakaf kepada golongan yang memerlukan.
“Program ini mencerminkan peranan wakaf sebagai instrumen kebajikan yang memberikan manfaat berterusan kepada masyarakat, khususnya bagi membantu golongan yang memerlukan sokongan dan perhatian,” ujar pihaknya menerusi suatu kenyataan rasmi.
Penganjuran majlis tersebut memberikan peluang kepada golongan istimewa berkenaan untuk merasai kemeriahan bulan Ramadan dalam suasana yang penuh kasih sayang, sokongan dan kegembiraan.
Selain itu, pengisian majlis berkenaan merangkumi penyampaian sumbangan kepada pihak KIDS serta pemberian duit raya kepada pesakit kanak-kanak yang hadir, di samping sesi beramah mesra bersama-sama dengan ahli keluarga.
Inisiatif murni daripada Waqaf FELDA ini bertujuan meraikan dan memberikan sokongan moral kepada para pesakit serta ahli keluarga agar mereka terus tabah mengharungi cabaran rawatan.
Pada masa yang sama, majlis ini menjadi platform kepada khalayak, khususnya warga FELDA untuk mendekati pesakit kanser kanak-kanak supaya golongan ini dapat menjalani kehidupan dengan lebih positif.
Majlis tersebut turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi FELDA, YBhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek; Pengarah Besar FELDA merangkap Pengerusi PUSPANITA Cawangan Kecil FELDA, YBhg. Dato’ Dr. Suzana Idayu Wati Osman dan Ketua Pegawai Eksekutif Waqaf FELDA, YBrs. Encik Hisyam Ahmad.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak Waqaf FELDA akan meneruskan inisiatif sedemikian melalui program ziarah ke wad hospital untuk menyantuni serta menyampaikan sumbangan kepada pesakit yang sedang menerima rawatan.
Untuk rekod, sejak tahun 2024, Waqaf FELDA menyalurkan dana sumbangan berjumlah RM56,920.00 kepada KIDS melalui pelbagai inisiatif kebajikan termasuklah Program Kembali ke Sekolah serta program ziarah kasih anak kanser di wad hospital.