Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Umat Islam di Malaysia bakal mengetahui tarikh sebenar Hari Raya Puasa sama ada jatuh pada 20 atau 21 Mac apabila proses cerapan anak bulan Syawal dilaksanakan pada petang Khamis, 19 Mac ini.
Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja mengesahkan tarikh tersebut bertepatan dengan 29 Ramadan 1447 Hijrah.
Pengumuman rasmi mengenai akan dibuat pada malam yang sama menerusi saluran radio dan televisyen.
Sebanyak 29 lokasi di seluruh negara dikenal pasti untuk tujuan cerapan anak bulan tersebut merangkumi semua negeri termasuk Sabah, Sarawak, dan Wilayah Persekutuan Labuan.
Antara lokasi cerapan di Semenanjung Malaysia yang terlibat termasuklah Baitul Hilal Bangunan Sultan Ismail di Pontian, Bukit Melawati (Kuala Selangor), Balai Hilal Pantai Pasir Panjang (Manjong) serta Pusat Falak Sheikh Tahir (Pantai Aceh).
Bagi negeri di pantai timur, terdapat tujuh pusat cerapan yang dipilih meliputi lokasi di Bukit Besar (Kuala Terengganu), Bukit Geliga (Kemaman), Pulau Perhentian (Besut), dan Balai Cerap KUSZA di (Setiu), Bukit Peraksi (Pasir Puteh), Bukit Kampung Tembeling (Kuala Krai), dan Menara Bangunan SEDC (Kota Baharu).
Selain itu, tiga lokasi ditetapkan di negeri Pahang, iaitu Bukit Tanjong Batu (Nenasi), Gunung Berincang (Cameron Highlands), dan Menara 188 (Kuantan).
Pelaksanaan cerapan di Sabah dilakukan di Balai Cerap Al-Biruni (Putatan), manakala di Sarawak pula melibatkan Pusat Falak Miri, Teluk Bandung Kuching, dan Bintulu.
Lokasi cerapan rasmi lain yang turut terpilih ialah Menara Kuala Lumpur, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Menara Universiti Malaysia Sabah di Kampus Antarabangsa Labuan, dan Menara Pandang Masjid Al-Hussain di Kuala Perlis.
Sementara itu, Majlis Raja-Raja bersetuju penentuan tarikh Hari Raya Puasa di Malaysia berdasarkan kaedah rukyah, iaitu pemerhatian anak bulan secara langsung dan kaedah hisab melalui pengiraan astronomi.