Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – MobilityOne Sdn. Bhd., Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) dan Persatuan Agensi Pelancongan Umrah dan Haji (PAPUH) mengumumkan jalinan kerjasama strategik melalui pelancaran Kerangka Sokongan dan Bantuan Kecemasan Timur Tengah (SAFE-ME) pada Khamis.
SAFE-ME merupakan sebuah pusat saraf digital nasional yang dibangunkan khusus untuk memberikan respons krisis secara masa nyata (real-time).
Inisiatif ini merupakan tindak balas langsung terhadap krisis geopolitik yang berlaku sejak 28 Februari lalu menyebabkan ratusan jemaah Malaysia di seluruh Timur Tengah terkandas susulan penutupan ruang udara dan pembatalan jadual penerbangan secara besar-besaran.
Matlamat utama pembangunan sistem berkenaan adalah untuk memastikan tiada jemaah Malaysia terpaksa menghadapi krisis di luar negara tanpa sokongan keselamatan yang diselaraskan.
Sistem tersebut dilengkapi ciri pusat arahan bersepadu yang beroperasi 24 jam setiap hari, bertindak menghubungkan jemaah, agensi pelancongan dan agensi kerajaan secara berterusan.
Selain itu, platform ini turut menyediakan sokongan teknologi digital yang menawarkan pengesanan lokasi masa nyata, fungsi panggilan kecemasan, dan penyaluran bantuan kewangan melalui aplikasi e-dompet.
Pembangunan sistem ini juga memiliki ciri amaran awal bagi mengesan risiko geopolitik yang dipacu oleh teknologi kecerdasan buatan (AI), selain papan pemuka yang menyediakan kemudahan pemantauan secara langsung bagi kegunaan Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC), Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR), serta Kementerian Luar Negeri (Wisma Putra).
Sinergi SAFE-ME dengan Projek AI Road2Haramain kelolaan PAPUH juga mendukung transformasi digital dalam industri umrah dan haji melalui analisis berpandukan AI, penyelesaian perancangan sumber perusahaan (ERP), serta instrumen respons krisis.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) berlangsung pada hari yang sama, sekali gus menandakan langkah yang signifikan terhadap kebajikan lebih 500 000 orang rakyat Malaysia yang menunaikan umrah pada setiap tahun.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif MobilityOne, YBhg. Dato’ Hussain @ Rizal A. Rahman, SAFE-ME menyediakan pusat saraf digital yang beroperasi 24 jam setiap hari untuk melindungi rakyat negara kita.
“Kami amat berbesar hati kerana dapat bekerjasama dengan pihak MAPIM dan PAPUH bagi menjayakan usaha pada peringkat nasional ini,” ujar beliau.
Presiden MAPIM, YBrs. Encik Mohd. Azmi Abd. Hamid pula memaklumkan bahawa pelancaran SAFE-ME berjaya merapatkan jurang antara nilai kemanusiaan dengan inovasi teknologi.
“Kami menyokong penuh inisiatif ini yang disifatkan sangat tepat pada masanya,” ujarnya.
Sementara itu, Presiden PAPUH, YBhg. Dato’ Sri Razali Mohd. Sham berkata, menerusi kedua-dua sistem ini, pihaknya mempersiapkan industri pelancongan umrah dan haji untuk melangkah ke hadapan melalui pemerkasaan teknologi AI dan transformasi digital.
Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh menghubungi pada talian rasmi 011-1999 7398 atau e-mel [email protected].