Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Himpunan Asatizah Muda Kebangsaan (HAMKA) 2026 yang berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan pada Selasa berjaya menghimpunkan lebih 1500 orang peserta dari seluruh pelosok negara dalam satu pertemuan berskala nasional.
Program yang disertai oleh para pendakwah, guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (KAFA), guru takmir, mahasiswa pengajian Islam, serta peserta antarabangsa dari pelbagai negara itu memperlihatkan kebangkitan semangat dakwah generasi baharu yang berteraskan ilmu, keikhlasan dan tanggungjawab terhadap ummah.
Perasmian program berkenaan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Yang Berhormat (YB) Senator Dr. Zulkifli Hasan.
Beliau dalam ucapannya berkata, dunia pascanormal pada hari ini memerlukan asatizah muda untuk sentiasa turun padang, serta menguasai ruang media sosial dengan kandungan dakwah yang bermutu dan isu yang positif .
“Seandainya hal sedemikian tidak dilakukan, pemikiran melampau akan mendominasi pemikiran masyarakat,” ujarnya.
Sebagai usaha memperkukuh peranan asatizah muda, beliau memaklumkan bahawa penganjuran program HAMKA juga akan diperluas pada peringkat negeri selepas ini.
Sementara itu, menerusi suatu kenyataannya pada Rabu, beliau menyifatkan kehadiran para peserta bukan sekadar memenuhi ruang program, sebaliknya menggalas amanah besar perjuangan dakwah demi cita-cita ummah.
Tambah beliau, HAMKA perlu difahami sebagai titik tolak kepada kebangkitan gerakan dakwah yang lebih tersusun dan berimpak tinggi.
“Kita mahu cetuskan gelombang asatizah muda di Malaysia yang berupaya membina negara dengan hikmah, memimpin masyarakat dengan adab, dan menyuburkan jiwa ummah dengan cahaya wahyu,” katanya.
Antara pengisian lain yang diadakan dalam program tersebut termasuklah sesi Dialog Asatizah Muda, Sidang Meja Bulat dan dialog awam (town hall) bersama-sama dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).
Pada masa yang sama, program anjuran Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (YADIM) dengan kerjasama agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu turut menyaksikan pelancaran Daie MADANI sebagai inisiatif utama yang memastikan gerak kerja dakwah terus segar, relevan dan menyentuh keperluan masyarakat semasa.
Program tersebut turut dihadiri oleh Yang Dipertua YADIM, YBhg. Dato’ Dr. Hasan Bahrom; Ahli Lembaga Pemegang Amanah YADIM, YBrs. Tuan Haji Amidi Dato’ Abdul Manan dan YBrs. Encik Azlan Shah Nabees Khan, serta ketua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).