Diterbitkan pada 24 Februari 2026, 08:41

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Paris – Kedutaan Besar Malaysia di Paris menerima sumbangan Bantuan Ibnu Sabil daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) berjumlah RM5,000.00.

Penyerahan bantuan tersebut disempurnakan oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selaku Yang DiPertua MAIPs kepada Duta Besar Malaysia ke Perancis, YBhg. Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim.

Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada komitmen berterusan MAIPs terhadap pelaksanaan agihan Tabung Ibnu Sabil di luar negara menerusi beberapa buah pejabat perwakilan Malaysia yang terpilih.

Sumbangan tersebut bertujuan membantu rakyat Malaysia di Perancis yang berhadapan dengan situasi kecemasan, terputus sumber sara diri, atau terkandas sama ada untuk pulang ke tanah air mahupun untuk meneruskan perjalanan.

Menurut Eldeen Husaini, pihak MAIPs turut berhasrat untuk menjalinkan kerjasama dengan pihak kedutaan bagi menjayakan program infak kepada masjid sekitar Paris pada Ramadan kali ini atau pada tahun hadapan melalui usaha “Dari Perlis ke Paris” dengan pelibatan beberapa penyumbang dan rakan strategik.

Yang turut berangkat sama ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil berserta anakanda baginda berdua, Hajah Sharifah Khatreena Nuraniah Jamalullail dan Hajah Sharifah Farah Adriana Jamalullail, serta Waris Yang Kedua Negeri Perlis, Syed Sirajuddin Areeb Putra Al-Haj Jamalullail.

Keberangkatan baginda sekeluarga turut diiringi oleh Setiausaha Pertama, Mohd Nizam Halimi dan Setiausaha Kedua, Aida Anum Aminuddin.

Dalam perkembangan yang berkaitan, MAIPs menerusi kenyataannya turut memaklumkan bahawa Kedutaan Besar Malaysia di Paris akan menganjurkan pelbagai kegiatan kerohanian bagi mengimarahkan sepanjang bulan Ramadan dan Syawal pada tahun ini.

Bersempena dengan kedatangan bulan Ramadan, penganjuran Program Ihya’ Ramadan, sumbangan infak kepada masjid di sekitar Paris, majlis berbuka puasa bersama-sama dengan pelajar Malaysia, serta tadarus al-Quran mengukuhkan hubungan erat antara rakyat Malaysia di perantauan dengan komuniti Islam tempatan.

Selain itu, pihak kedutaan itu juga bakal melaksanakan Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri pada bulan Syawal kelak sebagai platform yang memupuk semangat muhibah, di samping mempromosikan keindahan budaya dan tradisi Malaysia kepada masyarakat setempat.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi