Arina Zata Sabila binti Musthafa Abrar .
Diterbitkan pada 22 Februari 2026, 11:45

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kangar – Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah bahawa masjid perlu dijadikan sebagai pusat harmoni dan dakwah inklusif.

Menurut baginda, pegawai masjid merupakan barisan hadapan yang  wajar terlatih, mesra dan berbudi bahasa kerana impresi pertama menentukan keterbukaan hati tetamu bukan Islam apabila mengunjungi masjid.

“Imam dan jawatankuasa masjid perlu diberi pendedahan sewajarnya untuk mendalami ilmu dakwah melalui kursus pengurusan tetamu bagi memastikan penerangan berkaitan hal Islam dapat disampaikan dengan berkesan,” titah baginda.

Masjid di Perlis disarankan lebih terbuka menerima pelancong baik tempatan mahupun warga asing serta mempermudah kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dakwah yang mendapat kebenaran daripada pihak berautoriti untuk aktiviti lawatan masjid atau ‘Mosque Tour’.

Tuanku Raja Muda Perlis bersama-sama dengan Raja Puan Muda Perlis berangkat menyempurnakan Program Agihan Zakat MAIPs yang berlangsung di Masjid Al-Istiqamah.

Baginda turut menekankan bahawa tembok prejudis hendaklah ditiadakan dan keindahan Islam mesti disebarkan secara meluas kepada komuniti bukan Islam di negeri ini.

Usaha tersebut merupakan sebahagian daripada hala tuju Majlis Agama Islam Dan Adat Istiafat Melayu Perlis (MAIPs) 2026–2030 yang turut bermatlamat menjadikan masjid sebagai pusat penyatuan ummah dan keharmonian masyarakat.

Demikian titah Tuanku Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail selepas berkenan berangkat menyempurnakan Program Agihan Zakat MAIPs yang berlangsung di Masjid Al-Istiqamah, Teluk Jambu, Kangar baru-baru ini.

Tuanku Raja Muda Perlis berangkat menyempurnakan Program Agihan Zakat MAIPs yang berlangsung di Masjid Al-Istiqamah.

Turut berangkat mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba Baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pelaksanaan program ini bukan sahaja bertujuan menyalurkan bantuan kewangan kepada golongan yang memerlukan, malah berperanan sebagai wadah mendekatkan institusi zakat dengan masyarakat setempat, di samping memastikan amanah para pembayar zakat diurus serta diagihkan secara telus, efisien dan menyeluruh.

Sebanyak RM105,000 telah diagihkan kepada seramai 150 orang penerima, masing-masing terdiri daripada 75 anak kariah Teluk Jambu dan 75 anak kariah Wang Ulu.

a
Tuanku Raja Muda Perlis menyantuni penerima batuan zakat.

Turut diadakan ialah simbolik penyerahan Sumbangan Kecemasan Unit Kerja Sosial Hospital Tuanku Fauziah (HTF) daripada MAIPs berjumlah RM45,000 dan juga Sumbangan Pelaksanaan Kelas Tambahan Rumah Kanak-Kanak Arau sebanyak RM12,000 yang disempurnakan oleh Baginda berdua.

Kredit Foto: Media Raja Muda Perlis
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi