Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangKuala Lumpur – Pusat Pelancongan Islam (ITC) mengumumkan bahawa permohonan bagi program Geran Penyelidikan Pelancongan Islam (ITRG) 2026 dibuka kepada khalayak yang memenuhi syarat yang ditetapkan.
Inisiatif pembiayaan penyelidikan ini dirangka khusus bagi menyokong para penyelidik dari institusi pengajian tinggi awam dan swasta, serta firma penyelidikan tempatan dalam kajian pelancongan Islam dan hospitaliti mesra Muslim di Malaysia.
Tawaran geran tersebut menyasarkan pihak yang sedang mengendalikan atau menyelia kajian berkaitan dengan pelancongan Islam, pelancongan dan hospitaliti mesra Muslim, mahupun bidang penyelidikan lain yang berkaitan.
Menurut ITC, geran berkenaan bertujuan menghasilkan kajian berasaskan bukti yang kukuh dalam usaha menyokong pembentukan dan penambahbaikan dasar pelancongan Islam negara.
Pada masa yang sama, ITC turut mengalu-alukan penyelidikan yang bersifat asli, transformatif dan inovatif demi memperkukuh amalan terbaik dalam sektor itu.
Bagi kriteria kelayakan, antara syarat utama termasuklah kajian yang dicadangkan mestilah dilaksanakan dalam tempoh sekurang-kurangnya 24 minggu selepas surat pelantikan diterima, di samping relevan dengan konteks Malaysia.
Dari aspek skop penyelidikan, setiap kertas cadangan yang dikemukakan perlu menyentuh satu daripada enam bidang utama, iaitu pelancongan mampan dan inklusif, pelancongan berasaskan komuniti, pelancongan budaya dan warisan, pendigitalan, teknologi pintar dan kecerdasan buatan, pembangunan produk dan perkhidmatan baharu, serta trend pasaran dan permintaan.
Tambah pihaknya lagi, penyelidikan yang berjaya menerima pembiayaan tersebut diharapkan agar berupaya memberikan impak yang ketara, seterusnya membantu Malaysia memperkukuh kedudukannya sebagai destinasi pelancongan Islam bertaraf dunia, selaras dengan gagasan Malaysia MADANI.
Tarikh tutup bagi penyerahan semua cadangan penyelidikan kepada pihak ITC adalah pada atau sebelum 4 Mac 2026 (Rabu).
Untuk sebarang pertanyaan lebih lanjut, mereka yang berminat boleh menghubungi pegawai penyelaras, Siti Sarah pada talian 012-498 1107 atau Ainaa (010-266 2535).
Maklumat tambahan berkaitan dengan permohonan juga boleh diperoleh menerusi e-mel rasmi [email protected] atau dengan melayari laman sesawang www.itc.gov.my.