Diterbitkan pada 19 Februari 2026, 08:03

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Abu Dhabi – Buat julung-julung kalinya Jawatankuasa Pengesahan Anak Bulan Ramadan Emiriah Arab Bersatu (UAE) mengintegrasikan penggunaan teknologi dron dan kecerdasan buatan (AI) dalam proses cerapan anak bulan Ramadan 1447 Hijrah.

Langkah inovatif berkenaan dilaksanakan seiring dengan pematuhan terhadap prinsip syariat Islam.

Mesyuarat jawatankuasa yang diketuai oleh Pengerusi Majlis Fatwa UAE, Sheikh Abdullah bin Sheikh Mahfuz (Ibn Bayyah) bagi mengesahkan data daripada proses cerapan itu diadakan pada Selasa, sejurus selepas solat Maghrib di Qasr Al Hosn.

Memetik laporan Agensi Berita Emirates (WAM), dron al-Shawwaf yang dilengkapi dengan ciri saintifik merakam imej anak bulan di pelbagai lokasi seluruh negara tersebut.

Menurutnya lagi, imej yang diperoleh kemudiannya dianalisis menerusi sistem kecerdasan buatan bagi meningkatkan ketepatan cerapan, khususnya ketika keadaan cuaca yang tidak menentu.

Pengerusi Pihak Berkuasa Hal Ehwal Islam, Wakaf dan Zakat, Dr. Omar Habtoor Al Darei memaklumkan bahawa pendekatan sedemikian mencerminkan komitmen jawatankuasa tersebut dalam usaha mendapatkan ketepatan cerapan yang terbaik dalam penentuan awal Ramadan.

“Kaedah ini menggabungkan prinsip syariah yang berlandaskan nas agama dengan manfaat sains moden dan teknologi terkini,” ujarnya.

Tegas beliau, data cerapan yang digunakan, diambil daripada enam buah balai cerap rasmi di seluruh UAE bagi menjamin ketelusan dan keteraturan proses pengesahan tersebut.

“Selain bergantung pada teknologi yang canggih, pelibatan orang awam turut dialu-alukan,” katanya.

Sehubungan dengan itu, Majlis Fatwa UAE turut menyediakan sebuah platform elektronik khusus bagi membolehkan masyarakat mengemukakan laporan pemerhatian anak bulan masing-masing.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi