Diterbitkan pada 15 Februari 2026, 19:49

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kerajaan Arab Saudi menetapkan kewajipan pembayaran dam lebih awal bagi setiap bakal jemaah haji yang melaksanakan haji tamatuk dan qiran sebagai prasyarat bagi proses pengeluaran visa haji mulai musim haji 1447H/2026M.

Menurut Lembaga Tabung Haji (TH), pihaknya akan menguruskan pembayaran dam kepada Projek Pemanfaatan Hady dan Korban Kerajaan Arab Saudi (ADAHI) bagi pihak jemaah dengan kadar yang ditetapkan, iaitu RM810 bagi seekor kibas pada musim haji kali ini.

“Bayaran dam perlu ditunaikan setiap jemaah mengikut jenis ibadat haji yang dipilih, dan bakal jemaah haji tahun ini boleh membuat pembayaran dam melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH bermula 1 Ramadan,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Tambah pihaknya, bagi jemaah yang tidak membuat bayaran awal, bermula 1 Syawal, TH akan melaksanakan pembekuan jumlah berkenaan dalam akaun masing-masing sebelum proses pendebitan dilakukan.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, YBrs. Tuan Haji Mustakim Mohamad menjelaskan bahawa pelaksanaan dam melalui ADAHI merupakan syarat baharu yang dikenakan kepada semua jemaah haji seluruh dunia yang mengerjakan haji tamatuk dan qiran bagi musim haji tahun ini.

Beliau berkata, TH mengambil inisiatif memaklumkan kepada jemaah negara lebih awal bagi melancarkan urusan pengeluaran visa haji.

“Semua bakal haji yang melaksanakan haji tamatuk dan qiran perlu melunaskan bayaran dam sebelum tiba di tanah suci.

“Bagi bakal jemaah haji yang melakukan haji ifrad, jumlah bayaran tersebut akan dipulangkan semula sekiranya akaun mereka telah didebitkan dan selepas perakuan dibuat, tertakluk kepada pengesahan oleh pihak TH,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, TH turut membuka penyertaan ibadah korban di tanah suci pada tahun ini kepada semua pendeposit pada kadar RM810 bagi seekor kibas dan pembayaran boleh dibuat melalui aplikasi THiJARI atau di kaunter cawangan TH seluruh negara.

TH menasihati orang ramai agar sentiasa berwaspada dengan sebarang tawaran pembayaran dam dan ibadah korban di tanah suci yang mencurigakan daripada agensi pelancongan atau mana-mana pihak yang cuba mengambil kesempatan kerana perkara tersebut memerlukan kebenaran daripada pihak berkuasa Arab Saudi untuk melaksanakannya.

Untuk sebarang pertanyaan dan maklumat lebih lanjut, orang ramai boleh melayari laman sesawang rasmi TH, www.tabunghaji.gov.my atau menghubungi Pusat Panggilan TH (THCC) pada talian 03-62071919.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi