Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 16:58

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Chuping – Universiti Muhammadiyah Malaysia (UMAM) memikul tanggungjawab yang signifikan dalam konteks negeri Perlis bagi memartabatkan kefahaman Islam bersandarkan dalil sahih, pemikiran rasional, serta pendekatan yang selari tuntutan zaman.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, sebagai satu-satunya kampus milik penuh Universitas Muhammadiyah di luar Indonesia, UMAM perlu terus memperkukuh tadbir urus, meningkatkan mutu akademik, menyediakan persekitaran pembelajaran yang kondusif, serta memperluas jaringan kerjasama antarabangsa agar masa hadapannya terus kekal cemerlang.

“Semoga hubungan antara Malaysia dengan Indonesia terus diperteguh melalui jaringan pendidikan dan dakwah yang diasaskan oleh Muhammadiyah dan diteruskan oleh UMAM di bumi Perlis demi manfaat umat sejagat,” titah baginda selepas berkenan berangkat mengetuai program MAIPs Peduli anjuran Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) di sekitar Chuping, baru-baru ini.

Baginda turut diiringi oleh Naib Canselor UMAM, Dr. H. Saidul Amin; Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor; selain disertai oleh beberapa wakil kepimpinan Gerakan Pramuka (Persatuan Pengakap) dari Muhammadiyah Indonesia.

Pada masa yang sama, kayuhan amal yang diterajui oleh MAIPs turut disertai ketua jabatan negeri dan persekutuan, wakil sektor swasta, serta pertubuhan bukan kerajaan.

Bersempena dengan kayuhan tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail berkenan menyempurnakan penyampaian sumbangan agihan zakat kepada tiga orang asnaf terpilih dari Kampung Kok Klang dan Felda Chuping.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan menyampaikan sumbangan agihan zakat kepada seorang daripada asnaf terpilih.

Selain itu, Baginda turut mengadakan lawatan ke Shah Stable, sebuah pusat aktiviti berkuda yang menawarkan pengalaman berkuda dalam suasana desa yang tenang dan menghijau.

Kunjungan baginda berkenaan adalah sebagai tanda sokongan kepada kempen promosi Tahun Melawat Perlis (TMPs) 2024–2026.

Selain aktiviti berkuda, Shah Stable menjadi lokasi pilihan bagi kegiatan santai bersama-sama dengan keluarga, fotografi serta rekreasi berkonsepkan alam semula jadi, sekali gus menjadikannya antara tarikan pelancongan di negeri itu.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail ketika berkenan mengadakan lawatan ke Shah Stable.
Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi