Diterbitkan pada 12 Februari 2026, 14:33

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Shah Alam – Sebagai inisiatif menyemarakkan bulan Ramadan yang bakal menjelang dengan pengisian ilmu, ibadah dan semangat ukhuwah dalam kalangan warga kampus, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam melancarkan Program Ihya’ Ramadan bagi tahun 2026.

Pengisian yang mengangkat tema “Madrasah Takwa” itu merangkumi pelbagai kegiatan pengimarahan, termasuk majlis berbuka puasa, solat tarawih berjemaah, daurah kitab dan tadarus al-Quran.

Majlis pelancarannya disempurnakan oleh Naib Canselor UiTM, YBhg. Profesor Datuk Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin di Dewan Solat Utama, Masjid UiTM, pada Rabu.

Dalam ucapannya perasmiannya, beliau menegaskan bahawa betapa pentingnya menjadikan bulan Ramadan sebagai medan transformasi diri, memperkukuh integriti, serta menyuburkan budaya ilmu dan amal dalam kalangan warga universiti.

“Ibadah yang sempurna ialah ibadah yang meninggalkan kesan mendalam terhadap jiwa dan nurani setiap Muslim,” jelasnya.

Bersempena dengan majlis itu, beliau turut melancarkan Tabung Infak Permaidani Baharu bagi kegunaan Masjid UiTM.

Sementara itu, Ketua Unit Imarah, Bahagian Hal Ehwal Islam, YBrs. Encik Faizan Tajuid berkata, pemilihan tema ‘Madrasah Takwa’ adalah sebagai satu simbolik bahawa Ramadan merupakan satu perjalanan tarbiah seorang hamba mendidik diri agar menjadi hamba yang bertakwa dan warga yang sentiasa produktif melaksanakan tugasan seharian.

Majlis anjuran Bahagian Hal Ehwal Islam, Pejabat Pemerkasaan Adiwangsa, UiTM Shah Alam tersebut turut diserikan dengan pengisian ceramah khas daripada pendakwah bebas, Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid.

Penyampaiannya mengupas tajuk berkaitan dengan persediaan hati dan amalan bagi menyambut kedatangan bulan yang penuh keberkatan tersebut.

Habib Ali Zaenal Abidin al-Hamid ketika menyampaikan ceramahnya kepada para hadirin.

Kehadiran lebih daripada 300 orang warga UiTM daripada pelbagai bahagian dan fakulti ke majlis berkenaan mencerminkan komitmen dan kebersamaan warga universiti dalam usaha menghayati kedatangan bulan Ramadan pada peringkat universiti.

Pada masa yang sama, majlis tersebut turut dihadiri oleh Penolong Naib Canselor Pemerkasaan Adiwangsa, YBhg. Profesor Amer Shakir Zainol merangkap Nazir Masjid UiTM Shah Alam dan Pengarah Bahagian Hal Ehwal Islam, UiTM Shah Alam, YBrs. Tuan Haji Hanafi Hamdani.

Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi