Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia
Langgan SekarangPutrajaya – Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) melakar kejayaan yang membanggakan apabila menerima Anugerah Kecemerlangan Cambridge bagi Pengurusan Dana Wakaf Malaysia dalam majlis Anugerah Dana Islam Cambridge 2026 di InterContinental Hotel, Jeddah, pada Isnin.
Menurut YWM dalam suatu kenyataan di laman Facebook rasminya, pengiktirafan antarabangsa tersebut adalah atas kecemerlangan Malaysia dalam pembangunan sistem pengurusan dana wakaf yang profesional, telus dan berdaya saing dalam landskap pengurusan kekayaan Islam global.
“Anugerah tersebut mencerminkan kematangan institusi wakaf negara yang menggabungkan prinsip syariah dengan amalan tadbir urus dan pengurusan kewangan bertaraf antarabangsa,” katanya.
Tambah pihaknya, anugerah ini bukan sekadar pencapaian institusi, malah merupakan pengiktirafan terhadap keseluruhan ekosistem wakaf Malaysia yang melalui transformasi strategik ke arah model pengurusan dana berasaskan prestasi, kemampanan dan berimpak jangka panjang.
“Kejayaan ini selari dengan aspirasi Malaysia MADANI yang menekankan pembangunan berteraskan nilai, kesejahteraan sosial dan kemampanan.
YWM menjelaskan bahawa, dalam kerangka tersebut, wakaf berperanan sebagai instrumen ekonomi Islam yang menyokong pembangunan inklusif serta pengukuhan daya tahan komuniti.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif YWM, YBrs. Dr. Ridzwan Bakar dalam kenyataan sama menyifatkan anugerah ini sebagai manifestasi kejayaan seluruh gerakan wakaf di negara ini.
“Anugerah Kecemerlangan Cambridge ini bukan sekadar milik YWM, tetapi merupakan pengiktirafan kepada keseluruhan sistem dan institusi wakaf Malaysia, termasuk Majlis Agama Islam Negeri, rakan strategik kewangan, sektor korporat serta rakyat Malaysia yang terus menyokong pembangunan wakaf,” ujarnya.
Tegas beliau, hal ini membuktikan bahawa model wakaf Malaysia mencapai tahap kematangan dan kredibiliti yang diiktiraf pada peringkat antarabangsa.
Dr. Ridzwan berkata lagi, pihaknya memperkukuh pengurusan dana wakaf melalui strategi pelaburan patuh syariah, pembangunan aset berimpak tinggi serta kolaborasi strategik rentas sektor dan antarabangsa.
Selain itu, beliau menjelaskan bahawa pendekatan berkenaan memperluas manfaat wakaf kepada masyarakat dan memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai rujukan dalam transformasi wakaf moden.
“YWM berhasrat untuk menjadi ‘waqf game changer’ yang memacu evolusi wakaf daripada instrumen tradisional kepada platform pembangunan ekonomi bernilai tinggi dan berdaya saing pada peringkat global.
“Melalui Anugerah Kecemerlangan Cambridge 2026, wakaf Malaysia terus diangkat sebagai model unggul dan progresif yang membuktikan keupayaan wakaf memberikan manfaat menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.