Diterbitkan pada 10 Februari 2026, 19:30

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Kuala Lumpur – Kadar zakat fitrah di negeri Perlis tahun ini kekal dengan satu kadar sahaja, iaitu RM9.00 bagi setiap individu, sama seperti tahun sebelumnya.

Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail berkenan menyempurnakan pelancaran kadar zakat fitrah bagi tahun 1447H/2026M tersebut di Istana Siraj pada Selasa.

Berangkat sama mengiringi baginda ialah Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail yang juga merangkap Yang DiPertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs).

Majlis pelancaran tersebut turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Penetapan kadar berkenaan diputuskan setelah mengambil kira harga pasaran semasa bagi beras yang lazimnya menjadi makanan asasi (Ghalib Qut Al-Balad) penduduk di negeri itu.

Kadar ini juga selaras dengan tuntutan syarak yang menetapkan sukatan satu gantang nabawi bagi setiap individu.

Sementara itu, bagi umat Islam yang memilih untuk menunaikan zakat dengan menggunakan beras, kadar zakat fitrah yang ditetapkan ialah sebanyak satu gantang nabawi seorang, iaitu bersamaan dengan 2.6 kilogram.

Menurut MAIPs, pembayaran zakat fitrah boleh dilakukan melalui amil yang dilantik secara rasmi oleh majlis tersebut atau menerusi kaedah pembayaran dalam talian dengan melayari laman portal rasmi MAIPs pada pautan www.maips.gov.my atau laman perkhidmatan digital di digital.maips.gov.my.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi