Diterbitkan pada 10 Februari 2026, 14:06

Untuk mendapatkan maklumat terkini, ikuti kami melalui Telegram DBPMalaysia

Langgan Sekarang

Chuping – Momentum kejayaan program pembangunan sosial kelolaan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) wajar diteruskan dan diperkemas bagi memastikan keberkatan serta manfaatnya dapat dinikmati secara menyeluruh dan berpanjangan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah demikian selepas berkenan berangkat menyempurnakan Majlis Penyerahan Agihan Zakat MAIPs anjuran MAIPs di Masjid Nurul Huda, Felda Chuping baru-baru ini.

Baginda bertitah, program yang terdiri daripada bantuan sara hidup, pendidikan, kesihatan, perumahan, serta skim pemerkasaan ekonomi itu telah memberikan impak langsung kepada sebahagian besar golongan yang memerlukan, khususnya asnaf di Perlis.

“Inisiatif transformasi digital yang dilaksanakan oleh MAIPs merangkumi pendigitalan kaedah dan data, peningkatan kecekapan sistem dalaman serta pengukuhan platform perkhidmatan, banyak membantu mempercepat urusan, mengurangkan bebanan kerja, serta meningkatkan ketelusan,” titah baginda.

Yang turut berangkat sama mengiringi Baginda ialah Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Keberangkatan tiba baginda berdua disambut oleh Ketua Pegawai Eksekutif MAIPs, YBrs. Tuan Haji Mohd Nazim Mohd Noor.

Pada majlis tersebut, Tuanku Syed Faizuddin Putra dan Tuanku Dr. Hajah Lailatul Shahreen turut berkenan menyampaikan sumbangan MAIPs berjumlah RM210,000 kepada 300 orang penerima dalam kalangan asnaf terpilih.

Penerima sumbangan melibatkan empat kariah, iaitu Felda Chuping, Kampung Batu Bertangkup, Kampung Panggas, dan Kampung Kok Klang, masing-masing melibatkan 75 orang penerima bagi setiap kariah.

Kredit Foto: MAIPs
Hak cipta terpelihara © JendelaDBP. Sebarang salinan tanpa kebenaran daripada Pengarah Penerbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) akan dikenakan tindakan undang-undang.
Buletin JendelaDBP
Inginkan berita dan artikel popular harian terus ke e-mel anda?

Kongsi